Written by 5:26 pm Bola Sepak, Lain-Lain, Malaysia • 2 Comments

Wan Kuzri Jaring Gol & Cipta ‘Assist’ Bantu Pasukannya Menang Besar 7-1

Pemain yang akan dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat fasa 2 skuad kebangsaan bawah 20 tahun (B-20), Wan Kuzri Wan Kamal telah membantu pasukan kolejnya, Akron Zips meraih kemenangan besar 7-1 ke atas Wright State Raiders.

Pemain tengah kelahiran Illinois, Amerika Syarikat itu menjaringkan gol ketiga buat pasukannya pada minit ke-35 setelah menerima hantaran daripada rakan sepasukan, Jason Shokalook.

Untuk rekod, gol tersebut merupakan gol pertamanya dalam kejohanan bola sepak antara kolej-kolej Amerika Syarikat.

Sebelum tamat separuh masa pertama, satu sepakan percuma dari sisi padang yang diambil oleh Wan Kuzri berhasil ditanduk masuk ke dalam gol oleh rakannya, Ivan Nikolic untuk meletakkan Akron mendahulu 4-0 dengan selesa.

Akron meneruskan aksi cemerlang mereka pada babak kedua lebih-lebih lagi dengan kelebihan beraksi di tempat sendiri Stadium FirstEnergy dan berhasil menambah lagi tiga gol untuk menutup perlawanan pembukaan musim luruh dengan kemenangan bergaya 7-1.

Untuk perlawanan seterusnya, Wan Kuzri dan rakan-rakannya akan bertandang ke tempat lawan untuk bertemu pasukan Michigan State Spartans pada hari Isnin, 30 Ogos.

Sebagai tambahan, Wan Kuzri diperkenalkan sebagai muka baharu skuad bola sepak ini apabila menyambung pengajiannya di The University of Akron, pada awal Ogos lalu.

Featured Image: Akron Zips

(Visited 3,256 times, 1 visits today)
Close