Artikel

Formula 1: Selepas 20 Tahun Berlumba, Kimi Raikkonen Umum Persaraan Hujung Musim Ini

Pelumba Alfa Romeo Racing, Kimi Raikkonen mengumumkan akan menggantung helmet dan sarung tangannya setelah tamatnya saingan Formula1 musim 2021 ini.

Pelumba kelahiran Finland yang telah berlumba hampir 20 tahun ini membuat pengumuman tersebut menerusi akaun rasmi Instagram miliknya, semalam.

Tangkap layar pengumuman yang dibuat oleh Kimi Raikkonen

“Ini merupakan musim terakhir saya dalam Formula 1. Keputusan ini saya telah buat semasa musim sejuk lalu. Ia bukanlah satu keputusan yang mudah tetapi selepas daripada musim ini, ia merupakan masa untuk sesuatu yang baharu.” tulis pelumba yang bakal menjengah usia 42 tahun pada Oktober nanti.

Untuk rekod, Kimi atau nama julukannya, The Iceman melakukan debut dalam Formula 1 bersama pasukan Sauber ketika perlumbaan Australian GP pada tahun 2001.

Menariknya, kemenangan pertama yang diraih oleh Kimi hadir ketika beraksi di Litar Antarabangsa Sepang dalam Malaysian GP pada tahun 2003.

Sebagai rekod, antara pasukan yang pernah disertai oleh Kimi sepanjang penglibatannya dalam Formula 1 ialah Sauber (2001), McLaren (2002-2006), Ferrari (2007-2009), Lotus (2012-2013), Ferrari (2014-2018) dan terakhir Alfa Romeo (2019-kini).

Sementara itu, menurut Sky Sports, pelumba senegaranya, Valtteri Bottas diletakkan sebagai calon pilihan untuk menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Kimi di Alfa Romeo pada tahun 2022.

Featured Image: Alfa Romeo Racing

komen