Written by 11:03 am Bola Sepak, Eropah

No.10 Barcelona Kini Diwarisi Oleh Penyerang Muda, Ansu Fati

Pemergian penyerang profilik FC Barcelona, Lionel Messi ke Paris Saint-Germain (PSG) mencetuskan tanda tanya, siapakah yang akan mewarisi jersi bernombor 10 yang digunakannya sejak musim 2008/09?

Baca: Nombor Yang Pernah Digunakan Messi Bersama Barcelona & Argentina Selain No.10

Jersi No.10 yang cukup ikonik ini bukan sahaja digunakan oleh Messi atau nama julukannya, La Pulga malah turut disarung oleh penyerang terkenal seperti Ronaldinho, Rivaldo, Romario, Hristo Stoichkov dan Diego Maradona suatu masa dahulu.

Sebelum ini, menerusi satu kenyataan kepada media, Ronaldinho menyuarakan pendapatnya agar jersi No.10 tersebut ‘dipencenkan’ daripada digunakan oleh mana-mana pemain sekiranya Messi meninggalkan skuad Blaugrana tersebut.

Bagaimanapun, menerusi satu makluman rasmi, kelab yang berpangkalan di wilayah Catalan itu mengumumkan bahawa jersi No.10 tersebut akan digunakan oleh penyerang muda Sepanyol yang berusia 18 tahun, Ansu Fati bermula musim ini.

Pemain yang dilahirkan di Guinea Bissau ini melakukan debut dalam saingan La Liga bersama skuad senior Barcelona ketika berusia 16 tahun dan 298 hari – kedua termuda dalam sejarah La Liga.

Ketika ini, dia memegang rekod sebagai pemain termuda yang menjaringkan gol dalam sejarah saingan La Liga. Gol tersebut dijaringkan ketika menentang Osasuna pada usia 16 tahun 304 hari.

Bukan sahaja memecahkan rekod dalam saingan domestik, Ansu turut memegang rekod sebagai penjaring termuda dalam kancah Liga Juara-Juara UEFA apabila menjaringkan gol kemenangan buat Barcelona ketika menentang Inter Milan di San Siro pada usia 17 tahun 40 hari.

Sebagai rekod, Ansu Fati bermula dengan menggunakan No.31 (2019/20) sebelum menyarung jersi No.22 (2020/21). Musim lalu, dia sekali lagi menukar nombor jersinya dengan menggunakan No.17 sebelum diberikan No.10 pada musim ini. 

Featured Image: FC Barcelona

(Visited 482 times, 1 visits today)
Close