Written by 12:36 pm Bola Sepak, Eropah • One Comment

Pernah Dikaitkan Dengan JDT, Falcao Pilih Kembali Ke Saingan La Liga Sertai Rayo Vallecano

Bulan lalu, media sosial tempatan gegak-gempita dengan satu pendedahan oleh portal sukan berpangkalan di Turki bahawa penyerang veteran Colombia, Radamel Falcao dikaitkan untuk menyertai juara Liga Super 8 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bukan calang-calang penyerang yang dikaitkan dengan skuad Harimau Selatan kali ini. Manakan tidaknya, Falcao pernah beraksi bersama beberapa kelab gergasi eropah seperti Porto, Atletico Madrid, AS Monaco, Manchester United dan Chelsea.

Malahan penyerang berusia 35 tahun ini turut mempunyai pengalaman beraksi di pentas Piala Dunia serta kejohanan peringkat benua, Copa America mewakili skuad negaranya.

Bagaimanapun, Pengarah Sukan JDT, Martin Prest menerusi makluman di pelbagai platform media sosial milik kelab terbabit berkata skuad yang mendapat julukan Harimau Selatan itu tidak berada dalam kedudukan kewangan terbaik pada masa ini untuk mendapatkan khidmat pemain seperti Falcao.

Baca: Kewangan JDT Tidak Kukuh Untuk ‘Ikat’ Radamel Falcao – Martin Prest

Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan berita mengenai tawaran yang dilakukan kepada Falcao untuk beraksi bersama JDT adalah khabar angin semata-mata. 

Menerusi satu perkembangan terbaru yang dilaporkan oleh portal berpangkalan di Sepanyol, Marca, Falcao kembali beraksi dalam saingan La Liga dengan menyertai Rayo Vallecano sebelum jendela perpindahan musim panas ditutup.

Difahamkan, pengumuman rasmi oleh Rayo Vallecano akan dilakukan kemudian.

Falcao dikatakan menandatangani kontrak selama dua musim bersama pasukan tersebut untuk memastikan dia dapat bermain secara kerap sebagai usahanya untuk menyertai skuad Colombia bagi beraksi dalam kejohanan Piala Dunia 2022 Qatar.

Featured Image: Atletico Madrid

(Visited 481 times, 1 visits today)
Close