Artikel

Paralimpik 2020: ‘Unbeaten’ Liek Hou Tempah Tiket Separuh Akhir Badminton SU5

Atlet para negara, Cheah Liek Hou menempah tiket ke separuh akhir acara badminton (kategori SU5) dengan bergaya setelah merekodkan tiga kemenangan berturut-turut pada peringkat Kumpulan B, Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Atlet berusia 33 tahun ini berjaya meletakkan diri dalam kalangan empat pemain terbaik selepas menumpaskan wakil Jepun, Taiyo Imai secara dua ‘straight set’ 21-19 dan 21-12 di Stadium Kebangsaan Yoyogi, tengah hari tadi.

Dua perlawanan sebelum ini, Liek Hou cemerlang menumpaskan wakil Mesir, Ahmed Eldakror 21-3 dan 21-2 serta pemain Chinese Taipei, Fang Jen Yu 21-3 dan 21-9.

Di peringkat separuh akhir, hasil undian menyaksikan Liek Hou yang mendapat ‘tunjuk ajar’ bekas jaguh badminton negara, Rashid Sidek bakal berhadapan sekali lagi dengan wakil Chinese Taipei, Jen Yu.

Saingan separuh akhir dan perlawanan akhir yang menentukan pingat dijadualkan berlangsung pada hari esok (Sabtu, 4 September).

Untuk makluman semua, Liek Hou yang merupakan salah seorang prospek pingat emas pada temasya kali ini merupakan juara dunia sebanyak enam kali.

Featured Image: Majlis Sukan Negara

komen