Written by 6:09 pm Bola Sepak, Malaysia

Sasar Layak ke Piala AFC, Pertahanan Terengganu Tidak Gentar Berdepan Sang Juara JDT

Walaupun tewas dalam dua perlawanan terdahulu, pertahanan Terengganu FC, Shahrul Nizam Ros Hasni menyatakan pasukannya tetap meletakkan sasaran untuk muncul naib juara Liga Super 2021.

Kedudukan itu juga membolehkan mereka meraih tiket awal ke pentas antarabangsa, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada musim hadapan.

Justeru, untuk merealisasikan sasaran tersebut, tiada pilihan buat Nizam dan rakan-rakannya melainkan merekodkan kemenangan dalam baki dua perlawanan Liga Super termasuk menumpaskan sang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabtu ini.

Foto: JOHOR Southern Tigers

“Sasaran kami masih lagi mahu bersaing di Piala AFC selepas terkilan tidak dapat bermain pada musim ini dan kedudukan selaku naib juara Liga Super lebih menjamin buat kami memandangkan tempat ketiga perlu menunggu pemenang Piala Malaysia.

“Sememangnya saya dan rakan-rakan mahukan kemenangan dalam perlawanan ini kerana ia pasti jadi pengubat terbaik selepas kami kalah pada dua perlawanan sebelum ini yang menjejaskan peluang kami untuk berada dalam kalangan kedua terbaik.

“Kami sedar tidak boleh kalah lagi jika mahu terus merapati kedudukan Kedah selain Penang juga meraih mata sama dengan kami. Selepas ini hanya tinggal satu perlawanan sahaja lagi.

“Saya sedar JDT sememangnya sebuah pasukan yang sangat kuat tetapi itu tidak bermakna saya dan rakan-rakan takut untuk berdepan mereka sebaliknya kami akan lebih bersemangat.

“Ketiadaan Carli de Murga yang merupakan ketua pasukan tidak menjejaskan kami kerana persefahaman dengan gandingan saya, Muhammad (Mohd Fauzi) di bahagian pertahanan tengah semakin meningkat dari setiap perlawanan,” katanya.

Ketika ini, Terengganu berada di kedudukan ketiga dalam saingan Liga Super dengan mengumpul 37 mata daripada 20 perlawanan.

Di kedudukan kedua adalah Kedah Darul Aman yang mempunyai 39 mata namun berkelebihan satu perlawanan di mana mereka baru sahaja beraksi dalam 19 perlawanan.

Sementara itu, Penang FC yang dibimbing oleh jurulatih kelahiran Republik Czech pula mempunyai 37 mata sedang menghimpit Terengganu di kedudukan keempat.

Mampukah Nizam dan rakan-rakannya mencapai sasaran untuk muncul naib juara Liga Super 2021? Sama-sama kita nantikan.

Featured Image: Terengganu FC

(Visited 348 times, 1 visits today)
Close