Written by 10:05 am Lain-Lain • One Comment

‘Dalam Rezeki Saya, Ada Juga Rezeki Orang Lain’ – Liek Hou Mahu Sedekah Sebahagian Ganjaran Emas Paralimpik

Hasil daripada kejayaan memenangi pingat emas dalam acara badminton kategori SU5 pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020, atlet para badminton negara, Cheah Liek Hou bakal menerima ganjaran RM1.1 juta.

Untuk makluman semua, ganjaran RM1 juta tersebut bakal diberikan sepertimana dijanjikan oleh Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) manakala RM100,000 pula merupakan insentif daripada FWD Takaful.

Bagaimanapun, menerusi laporan media tempatan, atlet berusia 33 tahun berkongsikan niat murni untuk mendermakan sebahagian daripada RM1.1 juta tersebut bagi membantu rumah-rumah kebajikan.

Liek Hou bersama pingat emas yang dimenanginya – Foto: MSN

Baca: ‘Invincible’ Liek Hou Sumbang Pingat Emas Ke-2 Untuk Malaysia

“Saya mahu sedekahkan sebahagian daripada ganjaran itu.”

“Saya akan beri bantuan kepada mana-mana rumah rumah kebajikan yang memerlukan menggunakan sebahagian daripada ganjaran itu. 

“Ini sesuatu yang memang saya sudah lama rancang, saya percaya dalam rezeki saya, ada juga rezeki orang lain,” katanya seperti dipetik daripada Berita Harian.

Liek Hou yang merupakan juara enam kali dunia muncul pemain pertama negara yang memenangi emas dalam acara tersebut di pentas Paralimpik setelah menumpaskan pemain No.1 dunia dari Indonesia, Dheva Anrimusthi secara dua ‘straight set’ pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Kebangsaan Yoyogi, sabtu lalu.

Sebelum daripada itu, perjalanan Liek Hou ke pentas akhir turut diserikan dengan prestasi cemerlangnya yang tidak merekodkan sebarang kekalahan bermula dari saingan peringkat Kumpulan B.

Baca: ‘Unbeaten’ Liek Hou Tempah Tiket Separuh Akhir Badminton SU5

Liek Hou memeluk jurulatihnya, Datuk Rashid Sidek selepas tamat perlawanan akhir – Foto: MSN

Kejayaan Liek Hou pada kali ini turut mendapat tunjuk ajar dan suntikan semangat daripada bekas jaguh badminton negara, Datuk Rashid Sidek selaku jurulatihnya.

“Saya juga mahu dedikasikan kejayaan ini kepada jurulatih saya Datuk Rashid yang berkorban untuk melatih saya.” 

“Dia sanggup meninggalkan keluarga dia apabila selama tiga bulan bersama saya menjalani latihan secara kuarantin di MSN (Majlis Sukan Negara)… memang saya nampak dia betul-betul bagi jiwa dan raga dia untuk membantu saya.”

“Saya juga ingin berterima kasih kepada keluarga terutama ibu (Jap Joe Tjin) dan isteri saya (Dewi Febriana), mereka tidak merungut apa-apa pun sepanjang ketiadaan saya untuk melakukan persiapan menghadapi Sukan Paralimpik.”

“Tidak lupa juga kepada MSN dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) yang banyak memberi sokongan. Kalau bukan kerana mereka yang membayar gaji kepada Datuk Rashid bagi melatih saya, tidak mungkin saya dapat capai prestasi seperti hari ini,” katanya lagi.

Featured Image: Majlis Sukan Negara

(Visited 194 times, 1 visits today)
Close