Written by 6:43 pm Bola Sepak, Malaysia

Ifedayo Yakin Selangor Boleh Meneruskan Konsistensi di Piala Malaysia

Prestasi Selangor dalam enam perlawanan terakhir ini sememangnya sangat memberangsangkan. Skuad kendalian Karsten Neitzel ini berhasil merekodkan lima kemenangan serta satu seri.

Tidak sebagaimana pada awal musim, prestasi dan persembahan skuad Red Giants ini boleh dikatakan agak ‘yo-yo’. 

Justeru, Selangor dijangka meneruskan rentak kecemerlangan ini pada perlawanan akhir Liga Super menentang Petaling Jaya City (PJ City) pada penghujung minggu nanti.

Tidak mustahil persembahan konsisten sebegini dapat diteruskan pada kejohanan Piala Malaysia yang akan berlangsung selepas daripada tamatnya saingan liga nanti.

Malah penyerang prolifik mereka, Ifedayo Olusegun turut mempunyai keyakinan tinggi pasukannya dapat mengekalkan prestasi ini dalam kejohanan tersebut.

Foto: MFL

“Kenapa tidak? Saya rasa kami boleh konsisten di Piala Malaysia cuma berdasarkan pengalaman saya, Piala Malaysia adalah satu pertandingan berbeza kerana suasananya tidak sama semasa bersaing di liga.

“Ada kalanya pasukan bukan pilihan boleh menghadirkan kejutan dan kami perlu meningkatkan prestasi sedia ada jika mahu melakar sesuatu di pentas Piala Malaysia.

“Kami tidak boleh tewas dalam mana-mana perlawanan di Piala Malaysia dan sudah tentu penyokong mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada pasukan,” katanya.

Sementara itu, penyerang kelahiran Nigeria yang mempunyai pasport Bahrain ini turut berkongsikan perasaannya selepas memecahkan rekod penjaring terbanyak dalam semusim Liga Super yang dipegang oleh Mohamad Ghaddar dan Bergson da Silva sebelum ini.

Ifedayo berjaya memecahkan rekod tersebut selepas menjaringkan hatrik ketika pasukannya menumpaskan Sabah 6-0 di Stadium Likas, semalam. Hatrik tersebut membolehkannya mengumpul 25 gol setakat ini.

“Perasaan dapat menjadi pemain pertama pecahkan rekod jaringan ini sukar untuk saya gambarkan, saya mahu berikan penghargaan khas kepada rakan sepasukan kerana ini adalah usaha bersama.

“Begitu juga dengan peminat Selangor yang sentiasa menyokong saya biarpun ada hari saya tidak menjadi dan saya mahu jelaskan di sini, kami semua yang memecahkan rekod ini, bukannya saya.

“Musim lalu saya menjaringkan 12 gol daripada 11 perlawanan dan secara purata keseluruhannya seperti 24 gol jika dijalankan secara dua pusingan.

“Jadi sejak permulaan musim ini, saya telah meletakkan sasaran untuk cuba mengatasi rekod jaringan itu dan saya gembira mampu melakukannya dengan angka 25 jaringan setakat ini, ” katanya lagi.

Adakah Ifedayo bakal menambahkan rekod jaringannya ketika menentang PJ City, Ahad nanti?

Featured Image: Selangor FC

(Visited 176 times, 1 visits today)
Close