Artikel

Azizul Fokus Persiapan Olimpik 2024, Tidak Bercadang Untuk Terima Tawaran Pensyarah UPSI

Jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang belum membuat keputusan terhadap dua tawaran yang dikemukakan oleh Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) kerana mahu menumpukan perhatian terhadap persiapan untuk beraksi di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Baru-baru ini, UPSI telah memberikan dua tawaran iaitu Biasiswa Bitara Pasca Siswazah untuk melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah (PhD) serta jawatan selaku pensyarah di universiti terbabit.

Pelumba berusia 33 tahun ini juga turut mendapat penganugerahan iaitu Anugerah Kecemerlangan Tokoh Sukan UPSI atas kecemerlangannya merangkul pingat perak dalam acara keirin lelaki dalam temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, Ogos lalu.

“Tawaran seperti ini adalah satu langkah dinamik  dari pihak UPSI yang mana suatu masa nanti apabila tiba masa untuk saya menggantungkan basikal, saya tahu yang sudah ada peluang baru disitu.”

“Saya berharap, penganugerahan seperti ini akan menjadi motivasi untuk rakan-rakan atlet di luar sana untuk bekerja dengan lebih keras dan mencapai kejayaan di peringkat yang tertinggi.”

“Saya juga telah memaklumkan kepada pihak UPSI yang buat masa ini saya tidak akan membuat mana-mana pilihan konkrit ke atas tawaran-tawaran yang diterima kerana fokus saya adalah untuk memberikan tumpuan penuh kepada Olimpik 2024 terlebih dahulu.” kata pelumba yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman itu di laman sosialnya.

Bagaimanapun, Azizul atau turut mesra dengan panggilan Jijoe tidak akan menyertai mana-mana pertandingan besar sehingga ke penghujung tahun ini atas alasan untuk berehat seketika.

Baca: Beri Peluang Pelumba Muda Sertai Kejohanan Dunia, Azizul Mahu Tumpu Sukan Komanwel & Asia 2022

Oleh demikian, saingan kejuaraan dunia iaitu Kejuaraan Basikal Trek Dunia 2021 yang akan dilangsungkan di Perancis pada penghujung Oktober hadapan tidak akan disertainya.

Beliau akan kembali beraksi pada tahun hadapan dengan memberikan tumpuan kepada temasya Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia Hangzhou 2022.

Featured Image: Azizulhasni Awang Facebook

komen