Written by 4:25 pm Lain-Lain

2 Pemain Hoki Wanita Sertai Kelab England, East Grinstead HC

Dua pemain senior Skuad Projek Khas Hoki Wanita Kebangsaan iaitu Nuraini Abdul Rashid dan Fatin Shafika Mohd Sukri bakal menyertai kelab berpangkalan di England, East Grinstead HC selama sebulan.

Pemergian mereka bagi membantu pasukan yang muncul selaku naib juara Liga Hoki England (Premier) musim lalu itu beraksi di Liga Hoki Eropah (EHL) serta mencabar saingan musim baru Liga Hoki England (Premier) 2021.

Nuraini tidak asing lagi bagi East Grinstead kerana penampilan kali ini merupakan penampilan kali ketiga beliau bersama pasukan tersebut. 

Untuk pengetahuan semua, Nuraini telah menyertai pasukan itu pada September hingga Disember 2019 ketika membuat penampilan pertama dan Februari hingga April 2020 bagi penampilan keduanya.

“Saya bersyukur dengan peluang yang diberikan untuk membuat penampilan kali ketiga bersama East Grinstead dan pastinya saya mahu mengekalkan prestasi yang telah saya berikan pada dua musim lalu dan saya berazam untuk mengekalkan pencapaian bersama pasukan iaitu mengakhiri saingan liga dikedudukan dua pasukan terbaik.

“Liga di sana dan liga di negara kita pastinya berbeza kerana England merupakan tiga pasukan terbaik di Sukan Olimpik Tokyo dan dalam pasukan East Grinstead sendiri, terdapat tiga pemain beraksi di Sukan Olimpik baru-baru ini jadi banyak ilmu yang pastinya boleh saya pelajari daripada mereka.

“Sudah semestinya saya teruja untuk kembali beraksi bersama mereka dan dalam masa yang sama saya mahu terus mengumpul pengalaman sebanyak yang boleh serta terus belajar perkara-perkara yang baru dengan mereka,” jelas Nuraini.

Baca: 2 Pemain Muda Tempatan Sertai Kelab Liga Hoki Belanda, Hattemse MHC

Padang hoki milik pasukan East Grienstead

Dalam pada itu, beraksi bersama East Grinstead bakal menjadi pengalaman pertama buat Fatin. 

Bagaimanapun, ini bukanlah pengalaman pertamanya beraksi di luar negara kerana sebelum ini Fatin pernah menyertai Kelab Hoki Butterfly Roma di Rome, Itali pada September hingga November 2018. 

“Sudah tentu saya gembira dan sangat teruja untuk beraksi di saingan Liga Hoki England. Dengan peluang yang diberikan ini saya mahu menggunakannya dengan sebaik mungkin. Saya juga mahu tunjukkan kepada mereka bahawa pemain-pemain Malaysia juga mempunyai kualiti untuk beraksi bersama mereka,” ujar Fatin.

Sebagai tambahan, Nuraini dan Fatin akan terbang pada minggu ini dan akan bersama pasukan tersebut sehingga 18 Oktober 2021.

(Visited 73 times, 1 visits today)
Close