Written by 1:12 pm Bola Sepak, Malaysia

Irfan Bakti Berpandangan Nafuzi Perlu Kekal Bimbing Terengganu Tahun 2022

Jurulatih muda dan berbakat, Nafuzi Zain perlu dikekalkan untuk membimbing Terengganu FC bagi mengharungi saingan Liga Malaysia pada tahun hadapan.

Menurut laporan Bernama, itulah pandangan yang dilontarkan oleh jurulatih berpengalaman yang kini membimbing skuad Liga Premier, Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim.

Irfan Bakti – Foto: MFL

Pandangan tersebut dinyatakan oleh Irfan yang juga bekas ketua jurulatih Terengganu mengulas mengenai kritikan bertalu-talu yang dilontarkan ke atas Nafuzi oleh para penyokong pasukan tersebut. 

Kritikan itu berpunca daripada kekalahan tiga kali berturut-turut Terengganu dalam tiga aksi terakhir Liga Super sehingga menyempitkan peluang untuk meraih kedudukan naib juara Liga Super bagi mendapatkan tiket ke saingan Piala AFC 2022 secara automatik.

“Saya kenal Nafuzi kerana dia pernah menjadi pembantu saya dan kami sentiasa berhubung. Saya selalu menasihatkan dia supaya bersabar dan kurangkan gangguan luar padang yang boleh menjejaskan perancangan pasukan.

“Bola sepak ada turun naiknya. Lagipun TFC bukan di zon penyingkiran, sebaliknya masih di kelompok atas bagi perebutan tangga kedua liga,” katanya seperti dipetik daripada Bernama.

Foto: Terengganu Football Club

Sementara itu, Irfan turut memaklumkan bahawa beliau tetap mengikuti rapat perkembangan pasukan berpangkalan di pantai timur ini walaupun telah berpisah hampir dua tahun dan setengah.

Beliau yang pernah mengemudi Terengganu sebanyak dua kali iaitu pada musim 2010-2011 dan musim 2017-2019 turut bangga dengan pencapaian yang diraih oleh Nafuzi pada ketika ini.

Sebagai rekod, Nafuzi, 42 tahun, mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih ‘interim’ Terengganu pada pertengahan tahun 2019 setelah Irfan meninggalkan pasukan ini.

Sekitar penghujung tahun 2019, Nafuzi dilantik secara sah sebagai ketua jurulatih Terengganu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2020.

Untuk makluman semua, Terengganu sedang berada di kedudukan ke-4 Liga Super di belakang Johor Darul Ta’zim, Kedah Darul Aman dan Penang selepas mengharungi 21 perlawanan, pada ketika ini.

Hujung minggu ini, skuad bimbingan Nafuzi ini akan bertandang ke Stadium Bandaraya, Pulau Pinang untuk menentang Penang pada perlawanan terakhir liga.

Terengganu masih berpeluang untuk menduduki tangga kedua Liga Super 2021 dengan meraih kemenangan ke atas Penang dan pada masa yang sama mengharapkan Kedah Darul Aman tumpas kepada Melaka United, Ahad nanti.

Featured Image: Terengganu FC

(Visited 1,522 times, 1 visits today)
Close