Written by 5:05 pm Bola Sepak, Malaysia

Terengganu Telah Memulakan Langkah Awal Untuk Menaturalisasikan Bek Tengah Montenegro

Skuad Liga Super, Terengganu FC telah memulakan langkah awal untuk menaturalisasikan pertahanan tengah kelahiran Montenegro, Argzim Redzovic.

Pertahanan berusia 29 tahun ini ditandatangani oleh pasukan berpangkalan di pantai timur pada tahun 2020.

Dia kini merupakan pemain skuad simpanan, Terengganu II yang beraksi dalam saingan Liga Premier dan bakal genap tempoh lima tahunnya beraksi di Malaysia pada tahun hadapan.

Walaupun khidmatnya digunakan dalam saingan Liga Premier, namun, sekiranya berlaku kecederaan melibatkan pertahanan import skuad utama, Argzim akan dipanggil oleh ketua jurulatih, Nafuzi Zain untuk mengisi kekosongan tersebut bagi beraksi dalam saingan Liga Super.

Baca: 9 Pemain Import Liga Malaysia Yang Boleh Dinaturalisasikan Pada Tahun 2021

Argzim (No.26) sedang menjalani latihan bersama pasukan senior sebelum menentang Johor Darul Ta’zim tempoh hari

Perancangan Terengganu untuk menaturalisasikan Argzim ini dikongsikan sendiri oleh pengurus pasukan, Zulfadli Rozi menerusi satu ciapan di akaun media sosialnya, hari ini.

“Itu sememangnya sasaran kami apabila kami menandatanganinya. Musim hadapan genap 5 tahun dan kami telah memulakan langkah awal ke arah itu (naturalisasi). Harapnya semuanya berjalan dengan baik Insya-Allah.” katanya membalas ciapan seorang pengguna Twitter, @PiangShankly.

Pengurus pasukan Terengganu, Zulfadli Rozi – Foto: Terengganu FC

Sebagai rekod, Argzim mula beraksi dalam saingan Liga Malaysia bersama Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) pada tahun 2018.

Pada tahun 2019, Argzim menjadi pemain tonggak yang membantu PDRM menamatkan saingan Liga Premier di tangga ketiga. 

Oleh kerana Johor Darul Ta’zim II (JDT II) yang merupakan sebuah pasukan simpanan (reserved team) menghuni tangga kedua liga, PDRM diberikan ‘tiket’ untuk mendapat promosi ke saingan Liga Super 2020.

Selain daripada bakal genap tempoh beraksi dalam saingan Liga Malaysia selama lima tahun, Argzim juga telah mendirikan rumah tangga bersama seorang gadis tempatan serta dikurniakan seorang cahaya mata.

Featured Image: Terengganu FC

(Visited 1,984 times, 1 visits today)
Close