Artikel

Rahadiazli Rahalim Dibenarkan Berlatih Dengan Jurulatih Penjaga Gol

Setelah beberapa bulan terpaksa menumpukan perhatian kepada pemulihan ekoran kecederaan melibat posterior crucial ligament (PCL), kini, penjaga gol muda Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim dibenarkan turun padang untuk berlatih.

Bagaimanapun, penjaga gol berusia 20 tahun ini hanya dibenarkan berlatih bersama jurulatih penjaga gol, Mohd Yazid Mohd Yassin.

Menurut pengurus pasukan, Zulfadli Rozi memaklumkan Rahadi serta pemain tengah yang mengalami kecederaan anterior crucial ligament (ACL), Azalinullah Alias akan dibenarkan menyertai latihan penuh bersama rakan sepasukan yang lain selepas 4 Oktober nanti. 

Azalinullah (kiri) dan Rahadi (kanan) – Foto: Terengganu FC

“Kita benarkan dia berlatih dengan jurulatih penjaga gol, dia akan ada satu lagi perjumpaan (appointment) dengan doktor pada 4 Oktober nanti, 

“Selepas (perjumpaan) itu barulah kita akan benarkan dia sertai latihan penuh bersama pasukan.

“Situasi yang sama dengan Azali kerana pembedahannya hanya selang seminggu berbanding Rahadi.” katanya kepada Sukanz, hari ini.

Rahadi (kiri) dan Carli de Murga (kanan) – Foto: Terengganu FC

Tambahnya lagi, Terengganu tidak mahu terburu-buru untuk gunakan khidmat kedua-dua pemain tersebut kerana pelbagai faktor perlu diambil kira.

Ini bermakna, penyokong-penyokong Terengganu tidak akan dapat melihat kelibat kedua-dua pemain ini dalam perlawanan terakhir Liga Super, menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, ahad ini.

Selain perlawanan akhir liga, kelibat kedua-dua pemain ini dalam saingan Piala Malaysia juga mungkin tidak akan kelihatan.

Sementara itu, kapten pasukan, Carli de Murga yang mengalami kecederaan sebelum ini akan mula menyertai latihan penuh bersama pasukan dan berkemungkinan akan digunakan khidmatnya oleh ketua jurulatih, Nafuzi Zain bagi mengharungi saingan Piala Malaysia.

Featured Image: Terengganu FC

komen