Written by 11:20 am Bola Sepak, Malaysia

Kedudukan No.4 Liga Super Kejayaan Atau Kegagalan? – Nafuzi Serah Kepada Semua Untuk Menilai

Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain menyerahkan kepada semua individu untuk menilai samada pencapaian menamatkan saingan Liga Super di kedudukan ke-4 sebagai kejayaan atau kegagalan.

Jurulatih tempatan berusia 42 tahun itu membimbing pasukannya dengan agak ‘garang’ untuk mendominasi kelompok tiga teratas liga sehingga 20 perlawanan musim ini.

Bagaimanapun kedudukan tersebut, yang juga merupakan pencapaian Terengganu pada musim 2020 tidak dapat dipertahankan dan pasukan berpangkalan di pantai timur ini terpaksa berpuas hati di tangga ke-4 Liga Super 2021.

“Kejayaan atau kegagalan itu adalah pandangan masing-masing, sesiapa boleh berfikir sendiri dengan pasukan Terengganu,

“Nilaikan sendiri pasukan Terengganu dibandingkan dengan pasukan yang lain dari segi prestasi, permainan dan statistik dalam semusim.

“Tahun lepas nombor 3 dan tahun ini nombor 4, kita hanya jatuh satu (kedudukan) sahaja tetapi (sedikit) berbeza kerana musim lalu kita hanya bermain 11 perlawanan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan menentang Penang.

Terengganu terlepas peluang untuk menamatkan saingan Liga Super dalam kelompok tiga teratas selepas hanya mencatatkan keputusan seri 2-2 walaupun berhadapan skuad kendalian Tomas Trucha yang terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain di Stadium Bandaraya pada perlawanan terakhir liga, semalam.

Kekalahan dalam tiga perlawanan terakhir, menentang Johor Darul Ta’zim, Kuala Lumpur City dan Kedah Darul Aman sebelum ini juga salah satu faktor yang menyebabkan Terengganu tergelincir daripada kelompok tersebut.

Sementara itu, bercakap mengenai sasaran bagi saingan Piala Malaysia yang akan berlangsung tidak lama lagi, Nafuzi mensasarkan untuk berada dalam kelompok 4 pasukan terbaik atau bahasa mudahnya, mara ke saingan separuh akhir.

Featured Image: Terengganu FC

(Visited 2,745 times, 1 visits today)
Close