Artikel

Azizulhasni Awang Rancang Anjur Kejohanan Basikal Trek Tersendiri

Pemenang pingat perak dalam acara keirin pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, Dato’ Azizulhasni Awang merancang untuk menganjurkan kejohanan basikal trek yang tersendiri.

Bagaimanapun, rancangan oleh jaguh basikal negara yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman tersebut akan dilakukannya setelah ‘menggantung basikalnya’ pada suatu hari nanti.

Salah satu daripada objektif untuk menganjurkan kejohanan itu nanti adalah untuk meningkatkan prestasi atlet yang bertanding serta memeriahkan lagi penganjuran sukan tersebut di dalam negara.

“Jika sudah bersara nanti bolehlah anjur Kejohanan Azizulhasni atau sebagainya, namun ia tidak relevan pada masa sekarang kerana saya masih bergiat aktif berlumba.

Azizul ketika melawat velodrom di daerah kelahirannya, Dungun, baru-baru ini – Foto: Azizulhasni Awang FB

“Saya harap satu hari nanti impian itu mampu direalisasikan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN),” katanya seperti dipetik daripada Bernama.

Baca: Azizul Fokus Persiapan Olimpik 2024, Tidak Bercadang Untuk Terima Tawaran Pensyarah UPSI

Seperti semua sedia maklum, sebuah velodrom yang masih dalam pembinaan sedang disiapkan di daerah kelahirannya, Dungun, Terengganu. 

Difahamkan, velodrom itu bakal dinamakan bersempena dengan namanya selaku atlet basikal trek terbaik yang pernah dilahirkan Malaysia setakat ini.

Barangkali pelumba berusia 33 tahun ini telah berkira-kira untuk menjadikan trek tersebut sebagai venue bagi kejohanan tersebut sekaligus akan memeriahkan lagi velodrom tersebut buat atlet-atlet dan peminat-peminat sukan ini.

Featured Image: Facebook Azizulhasni Awang

komen