Written by 10:53 am Bola Sepak, Malaysia • One Comment

Majoriti Pasukan Bersetuju Liga M3 Musim Ini Dibatalkan

Penganjur kejohanan bola sepak divisyen ketiga negara, Amateur Football League (AFL) mengumumkan saingan Liga M3 bagi musim ini dibatalkan.

Menurut AFL, pembatalan saingan tersebut turut dipersetujui oleh majoriti pasukan yang tersenarai untuk mengambil bahagian pada musim ini.

Perkara tersebut dimaklumkan secara rasmi oleh Pengerusi AFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menerusi pelbagai platform media sosial AFL, hari ini.

“AFL pada dasarnya ingin meneruskan pertandingan dengan pilihan untuk menganjurkannya secara gelembung sukan bermula November 2021 dan telah membentangkan kertas kerja kepada semua pasukan. 

“Namun begitu, pembatalan diputuskan setelah mengambil kira segala faktor termasuk hal-hal pengoperasian, aspek keselamatan serta kekangan yang dihadapi oleh AFL dan pasukan.

“Majoriti pasukan turut bersetuju agar Liga M3 2021 ini dibatalkan dan mengalihkan fokus sepenuhnya kepada Liga M3 2022,” kata Mohd Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Untuk makluman semua, saingan musim ini menyaksikan Liga M3 disertai oleh 20 pasukan. Majlis undian yang membahagikan 20 pasukan ini kepada dua buah kumpulan juga telah diadakan pada Mei lalu.

10 pasukan yang mengisi saingan untuk Kumpulan A ialah PIB FC, Manjung City FC,| Perlis United FC, Ultimate FC, Kuala Lumpur Rovers FC, Armed Forces FC, Cyberlynx FC, BRM FC, Kijang Rangers FC dan MNY FC.

Manakala baki 10 pasukan lagi mengisi saingan Kumpulan B iaitu KSR Sains FC, Imigresen FC, MAHSA-Protap FC, Harini KS FC, Langkawi City FC, Real Chukai FC, FC Langkawi, Kinabalu Jaguar FC, Kuala Kangsar FC dan Malaysian University FT.

Featured Image: AFL

(Visited 110 times, 1 visits today)
Close