Written by 12:16 pm Bola Sepak, Malaysia

Penjaring Terbanyak Tempatan, Baddrol Bakhtiar Wakili Malaysia – ‘Why Not?’ Kata Coach Aidil

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (Kedah), Aidil Sharin Sahak tidak nampak sebarang halangan buat kaptennya, Baddrol Bakhtiar kembali dipanggil untuk menyarung jersi skuad kebangsaan, Harimau Malaya.

Malahan jurulatih berusia 44 tahun itu turut menyatakan Baddrol atau lebih dikenali sebagai Badd setiasa menjadi pemain penting dalam pasukan Kedah serta merupakan salah seorang pemain terbaik dalam kancah bola sepak tempatan pada masa kini.

Lebih mengagumkan, pemain berusia 33 tahun itu turut meletakkan namanya selaku penjaring terbanyak Liga Super dalam kalangan pemain tempatan pada musim ini.

Badd muncul penjaring tempatan terbanyak Liga Super musim ini dengan menjaringkan 7 gol mengatasi penyerang muda Terengganu, Hakimi Abdullah (5 gol) dan penyerang senior, Amri Yahyah (4 gol).

“Mengapa tidak? Dia masih merupakan salah seorang pemain terbaik di dalam liga, dia memberikan segala-galanya, sikap dan komitmen,

“Saya berpendapat dengan (rekod) Baddrol merupakan penjaring gol tempatan terbanyak, mengapa tidak berikannya peluang, saya percaya Tan Cheng Hoe mempunyai perancangan yang baik untuknya.” katanya yang turut mesra dengan panggilan Coach Aidil.

Badd (No.17) diturunkan dalam kesebelasan utama ketika menentang Tajikistan – Foto: FAM

Untuk makluman semua, kali terakhir Badd menyarung jersi Harimau Malaya ketika diturunkan beraksi menentang Tajikistan dalam satu perlawanan persahabatan pada November 2019.

Sementara itu, Coach Aidil memberikan pujian kepada kesemua barisan pemain, kejurulatihan, pengurusan serta penyokong Kedah atas kejayaan mengekalkan kedudukan selaku naib juara Liga Super buat dua kali berturut-turut pada musim ini.

“Dua tahun berturut-turut menamatkan saingan di tempat kedua, tidak banyak pasukan boleh melakukannya dengan skuad yang kecil (tanpa pasukan simpanan), tidak mempunyai bajet yang besar, pujian harus diberikan kepada semua di dalam kelab yang menjadikan (perkara) ini sebuah kenyataan.” jelasnya.

Sebagai bonus, kedudukan naib juara liga ini memberikan skuad Hijau Kuning slot automatik ke pentas kejohanan bola sepak antarabangsa peringkat asia iaitu Piala AFC 2022.

Sebagai rekod, sejak Coach Aidil mengemudi pasukan berpangkalan di utara semenanjung tanah air ini bermula tahun 2019, selain daripada konsisten meletakkan Kedah selaku naib juara Liga Super dua kali berturut-turut, beliau juga telah membimbing Kedah ke pentas final sebanyak dua kali dan memenangi Piala FA 2019.

Featured Image: Kedah Darul Aman

(Visited 7,837 times, 180 visits today)
Close