Written by 2:55 pm Bola Sepak, Malaysia

Undian Piala Malaysia: Ulangan Final 2018 Terengganu & Perak Hiasi Kumpulan B

Majlis undian TM Piala Malaysia 2021 menyaksikan beberapa pertembungan menarik bakal disajikan pada peringkat kumpulan yang berlangsung bermula 23 September kelak. 

Paling mencuri tumpuan adalah melibatkan saingan di Kumpulan B yang melibatkan ulangan pertembungan final Piala Malaysia 2018 antara Terengganu menentang Perak.

Melengkapkan kumpulan tersebut adalah juara 33 kali, Selangor serta pasukan ketiga daripada saingan Liga Premier yang masih direbut oleh PDRM, Kuching City, Kelantan dan Kelantan United.

Juara edisi 2019 yang juga merupakan juara Liga Super 2021, Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapat undian yang agak mudah di dalam Kumpulan D bersama-sama PJ City, Sabah dan pasukan keempat dari saingan Liga Premier.

Sementara itu, finalis atau naib juara edisi 2019 iaitu Kedah Darul Aman diundi di dalam Kumpulan C bersama-sama Melaka United serta juara Liga Premier 2021 dan pasukan kelima daripada saingan yang sama.

Akhir sekali, Kumpulan A pula diisi oleh pasukan di tangga ketiga Liga Super musim ini, Penang sambil ditemani oleh Kuala Lumpur City, Sri Pahang dan naib juara Liga Premier 2021.

Siapakah yang akan mara ke peringkat suku akhir? Tinggalkan ramalan anda di ruangan komen di Facebook dan Twitter Sukanz.

Featured Image: Terengganu FC

(Visited 124 times, 1 visits today)
Close