Written by 4:58 pm Bola Sepak, Malaysia • One Comment

Syarikat Yang Menguruskan Padang, Kopa Arena Berminat Taja & Beli Saham Perak FC

Sebuah syarikat yang terlibat dalam menguruskan padang sintetik serta penganjuran liga dan akademi bola sepak, Kopa Arena dilaporkan berminat untuk menaja Perak FC untuk mengharungi saingan Liga Premier 2022.

Menurut laporan Bernama, minat syarikat yang memiliki padang sintetik di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang itu disahkan sendiri oleh Pengurus Besar Perak FC, Azman Noh.

Difahamkan mereka telah menghantar surat permohonan secara rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA). Selain itu, syarikat itu juga berminat untuk membeli sebahagian saham pasukan yang berusia 100 tahun ini.

“Surat tawaran telah dihantar oleh syarikat tersebut minggu lepas dan antara yang mungkin dibincangkan adalah berkaitan pembelian sebahagian saham dalam Perak FC.”

Perak pernah menjalani latihan menggunakan padang milik syarikat berkenaan pada tahun ini.

“Kata putus berkenaan perkara ini terserah kepada kebijaksanaan pihak pengurusan tertinggi PAFA untuk menilainya,” katanya seperti dipetik daripada Bernama.

Seperti semua sedia maklum, Perak FC akan menyertai saingan divisyen dua bola sepak Malaysia pada tahun hadapan setelah menduduki tangga kesebelas Liga Super 2021.

Pada masa yang sama, Azman berkata pihaknya memerlukan RM10 juta secara keseluruhan merangkumi aspek gaji, logistik dan pelbagai urusan lain bagi menguruskan pasukan berkenaan untuk mengharungi saingan Liga Premier tersebut. 

“Kos ini saya anggap realistik dan pada masa sama kita tidak mahu perkara-perkara di luar jangka seperti dalam Liga Super sebelum ini berulang kembali,” katanya lagi.

(Visited 3,775 times, 4 visits today)
Close