Written by 4:46 pm Bola Sepak, Malaysia • One Comment

Hanya 3 ‘Reserve Team’  Sahaja Terus Warnai Saingan Liga Malaysia, Perak II Dibubarkan

Sebanyak 3 buah pasukan simpanan atau nama glamornya ‘Reserved Team’ akan terus mewarnai kancah Liga Malaysia pada tahun hadapan.

Tiga buah pasukan tersebut ialah Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Terengganu II dan Selangor 2.

Sementara itu, sebuah lagi pasukan berstatus simpanan iaitu Perak II yang diumumkan oleh Malaysian Football League (MFL) ‘ditendang’ ke saingan Liga M3  2022 akan dibubarkan oleh Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

Perkembangan tersebut dimaklumkan oleh Pemangku Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohamad dan dilaporkan oleh akhbar tempatan, Sinar Harian pada hari ini.

“Setakat ini dalam perbincangan awal pihak pengurusan, Perak FC II terpaksa kita bubarkan. Tak boleh buat apa dah, nak tukar semula nama jadi PKNP FC pun tak ada dalam perancangan.

“Fokus kami sekarang adalah untuk mengharungi Liga Premier mulai musim depan dan juga layak ke Piala Malaysia. Kalau rezeki boleh melangkau semula (ke Liga Super)… alhamdulillah.

“Pada masa sama, kami nak fokus untuk pasukan bagi menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) dan juga skuad pembangunan,” katanya seperti dipetik daripada Sinar Harian.

Untuk makluman semua, Perak II diperkenalkan pada penghujung tahun 2019 apabila PKNP FC digabungkan bersama pasukan Perak di bawah PAFA.

Menyentuh prestasi Perak II pada musim ini, pasukan yang disertai oleh majoriti pemain muda tempatan itu berada di tangga ke-10 Liga Premier.

Sebagai tambahan, Yadzan berkata sebahagian pemain Perak II yang beraksi baik pada musim ini akan dipanggil untuk menyertai skuad utama Perak bagi mengharungi saingan musim hadapan.

“Namun, perkara ini akan dibincangkan lagi. Cuma kami tak akan ada sampai dua tiga pasukan, belanjanya besar. Lagipun kami dah tetapkan kriteria dan siapa (pemain) yang bagus akan pergi ke Perak FC,” jelasnya.

(Visited 2,399 times, 1 visits today)
Close