Artikel

SRT Dijenamakan Sebagai RNF Racing, Belum Ada ‘Title Sponsor’ Diumumkan

Pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team atau lebih dikenali sebagai SRT dijenamakan semula sebagai RNF Racing dan akan terus menyertai Kejuaraan Dunia MotoGP sehingga tahun 2026.

Perkembangan tersebut dilaporkan portal rasmi motogp.com setelah RNF Racing telah memeterai perjanjian bersama International Road-Racing Team Association (IRTA) selama lima tahun sebagai Independence Team (pasukan bebas) dalam saingan kelas premier tersebut, sabtu lalu.

Baca: Adakah ‘SRT Baharu’ Masih Lagi Pasukan Malaysia? Razlan Serah Kepada Peminat Untuk Tentukan

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sepang International Circuit (SIC) dan Prinsipal Pasukan SRT, Datuk Razlan Razali akan terus memimpin pasukan baharu berkenaan bersama-sama Johan Stifegelt.

Pengumuman penjenamaan pasukan ini dilakukan setelah ‘Title Sponsor’ mereka iaitu Petronas dan pemilik (owner), SIC mengumumkan menarik diri daripada menaja pasukan SRT setelah tamatnya kempen musim 2021. 

Baca: Petronas Tarik Penajaan Ke Atas Sepang Racing Team Mulai 2022

Bagaimanapun, hanya penukaran nama pasukan sahaja yang diumumkan setakat ini. 

Belum ada sebarang makluman rasmi mengenai syarikat yang akan menjadi ‘Title Sponsor’ mereka ataupun pelumba yang membarisi pasukan berkenaan bagi mengharungi saingan MotoGP 2022.

Sebelum ini, portal motosport.com mendedahkan pasukan baharu ini akan mendapat sokongan daripada syarikat berpangkalan di Itali iaitu WithU.

Sementara itu, perjanjian mereka bersama Yamaha juga belum didedahkan walaupun pelumba senior Itali, Andrea Dovizioso yang kini menyertai SRT akan berlumba dengan jentera Yamaha sekurang-kurangnya sehingga tahun 2022.

Sebagai tambahan, portal itu juga difahamkan pelumba Moto3, Darryn Binder akan dinaikkan pangkat daripada pasukan Petronas Sprinta Racing ke pasukan RNF Racing dan akan berlumba disamping Dovozioso pada tahun hadapan dalam saingan MotoGP.

Featured Image: Petronas SRT

komen