Written by 11:26 am Bola Sepak, Malaysia

‘Tolong Fikirkan Mereka Yang Baru Ceburi Bola Sepak’ – Reaksi Pengurus Pasukan Terhadap Pembubaran Perak II

Pengurus Pasukan, Mohd Rashidi Abdul Rahim meminta pihak pengurusan tidak terburu-buru membuat keputusan untuk membubarkan ‘feeder club’ atau ‘reserve team’ (pasukan simpanan) Perak II. 

Keputusan membubarkan Perak II akan menyebabkan beberapa pemain serta jurulatih di pasukan tersebut akan kehilangan pasukan pada musim hadapan.

Difahamkan ada beberapa pemain Perak II akan diserap masuk ke skuad utama, namun begitu, Rashidi berpandangan, perkara ini boleh membunuh karier dan semangat pemain-pemain yang tidak terpilih menyertai skuad utama yang akan beraksi dalam saingan Liga Premier 2022.

Pengurus pasukan, Mohd Rashidi Abdul Rahim (tengah) – Foto: Perak FC

Baca: Hanya 3 ‘Reserve Team’  Sahaja Terus Warnai Saingan Liga Malaysia, Perak II Dibubarkan

“Kita sedia maklum, pasukan utama turut menggunakan khidmat pemain dari Perak FC II, malah ada yang sudah melebihi umur untuk diserap ke pasukan Piala Presiden atau Belia.

“Tolonglah fikirkan mereka yang baru sahaja ceburi bidang ini, ia akan bunuh karier dan semangat mereka secara tidak langsung jika kita tutup feeder club ini.” katanya seperti dipetik daripada Bernama.

Sebaliknya, Rashidi mengharapkan Perak II dikekalkan dan diberikan peluang untuk beraksi dalam saingan divisyen ketiga bola sepak negara iaitu Liga M3 pada tahun hadapan.

“Kita gilap lagi bakat sedia ada, cari lagi muka baharu yang bagus untuk dibawa ke dalam pasukan, dedahkan mereka dalam Liga M3, saya yakin ia akan membuahkan hasil.” katanya lagi.

Baca: Liga Premier 2022 Disertai 10 Pasukan Sahaja Selepas Perak II ‘Diturunkan Pangkat’ Ke Liga M3

Dua hari lalu, media melaporkan Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Muhammad Yadzan Mohamad mengumumkan membubarkan pasukan simpanan tersebut bagi menumpukan perhatian kepada skuad utama dalam saingan Liga Premier.

Featured Image: Perak FC

(Visited 202 times, 1 visits today)
Close