Artikel

Shah Firdaus & Fadhil Zonis Sah Sertai Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2021

Pelumba basikal trek yang menyertai temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, Muhammad Shah Firdaus Sahrom mengesahkan dirinya akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2021 yang akan berlangsung pada penghujung Oktober kelak.

Menemani dirinya adalah seorang lagi pelumba muda berusia 23 tahun, Muhammad Fadhil Mohd Zonis.

Walaupun Fadhil tidak menyertai temasya Olimpik baru-baru ini, dia merupakan pelumba muda yang sedang meningkat namanya. Bulan Mei lalu, Fadhil telah memenangi pingat emas dalam acara keirin Piala Negara-Negara UCI 2021 yang berlangsung di Hong Kong.

Shah mengesahkan menyertai kejohanan dunia ini selepas dia pulih sepenuhnya daripada kecederaan di bahagian rusuk kirinya yang menimpanya semasa beraksi dalam acara keirin di Veledrom Izu, Ogos lalu.

Kemalangan yang menimpa Shah Firdaus semasa temasya Olimpik 2020 – Foto: MSN (Kamarul Akhir)

Baca: Shah Firdaus ‘Comeback’ Dalam Kesakitan Tempah Tiket Ke Suku Akhir Keirin

“Saya perlu masa sebulan untuk pulih akibat hentakan yang dialami di Olimpik Tokyo. Sebelum ini, hendak bernafas pun saya rasa rasa sakit dan batuk namun kini keadaannya sudah baik.

“Alhamdulillah, keadaan saya kini sudah 100 peratus pulih dan bersedia untuk berlumba. Memandangkan kejohanan di Perancis merupakan penutup tahun ini, saya memilih untuk menyertainya.

“Saya akan berlepas ke Perancis pada 10 Oktober bersama rakan sepasukan Muhammad Fadhil Mohd Zonis. Saya akan melakukan yang terbaik dan mengharapkan sokongan rakyat Malaysia,” katanya seperti dipetik daripada Sinar Harian.

Fadhil Zonis – Foto: IG @fadhilzonis

Baca: Beri Peluang Pelumba Muda Sertai Kejohanan Dunia, Azizul Mahu Tumpu Sukan Komanwel & Asia 2022

Untuk makluman semua, Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2021 anjuran Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) ini akan dilangsungkan di Velodrome Couvert Regional Jean-Stablinski atau lebih dikenali sebagai Le Stab bertempat di Roubaix, Perancis.

Sementara itu, jaguh berbasikal negara dan pemenang pingat perak Olimpik 2020 dalam acara keirin, Dato’ Azizulhasni Awang telah membuat keputusan untuk tidak menyertai kejohanan dunia pada tahun ini dan memberi peluang kepada pelumba muda.

Featured Image:  Instagram @shahfirdaus95 & SDF Track Team

komen