Written by 7:18 pm Bola Sepak, Malaysia

Pemain Senior Satukan Pasukan & Bimbing Pemain Muda Negeri Sembilan – K. Devan

Kejayaan Negeri Sembilan FC merangkul kejuaraan saingan divisyen dua bola sepak tempatan iaitu Liga Premier 2021 ditunjangi oleh pemain-pemain senior tempatan, demikian kata ketua jurulatihnya, K. Devan.

Skuad yang terkenal dengan gelaran Hobin Jang Hobin itu berhasil mengesahkan gelaran juara selepas menumpaskan PDRM FC dengan keputusan 4-2 pada perlawanan terakhir di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.

Skuad bimbingan K. Devan meraih kejuaraan selepas mencatatkan 12 kemenangan dan 5 seri sekaligus mengumpul 41 mata daripada 20 perlawanan yang diharungi sepanjang musim ini.

Sebahagian skuad Negeri Sembilan yang menjuarai Liga Premier 2021

“Bagi saya, pasukan kali ini umpama satu keluarga yang cukup kuat dan kita mempunyai sembilan pemain senior yang mempunyai karakter cukup baik seperti Mohamad Zaquan Adha, Nasrullah Haniff dan lain-lain lagi.

“Merekalah yang menyatukan pasukan ini dan memberikan bimbingan kepada pemain-pemain muda.

“Pada awal saya bersama Negeri Sembilan FC, saya masih berada di fasa awal dalam karier kejurulatihan saya dan saya berjaya bersama Negeri Sembilan FC.

“Saya hanya tukarkan tiga pemain daripada pasukan 2020 dan sehingga kita menubuhkan pasukan ini, jadi cabaran itu sangat besar kerana pasukan baharu terdiri daripada semua pemain baharu dan juga kita perlu layak ke Liga Super.

K. Devan

“Namun kali ini saya datang dengan misi selepas pasukan ini tidak layak ke Liga Super dalam tempoh seketika dan bila saya menyertai pasukan ini, saya datang dengan tanggungjawab yang besar apabila kita perlu membuat perubahan yang drastik kepada pasukan tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, kemenangan ke atas PDRM FC ini turut mengesahkan pasukan Negeri Sembilan menyertai Kumpulan C dalam saingan Piala Malaysia bersama-sama Kedah Darul Aman dan Melaka United.

Hanya satu slot sahaja lagi yang belum terisi dan ianya direbut antara PDRM FC dan Kelantan United. Bagaimanapun, pengisian slot tersebut akan terjawab apabila Kelantan United menentang Kuching City pada 24 September nanti. 

Featured Image: Negeri Sembilan Football Club

(Visited 63 times, 1 visits today)
Close