Artikel

Video: Pengadil Liga Rusia Suruh Pemain ‘Osom’ Ganti Lambungan Syiling

Satu perlawanan dalam saingan Liga Perdana Rusia melibatkan Krylia Sovetov menentang FC Rostov pada sabtu lalu menyaksikan satu perkara menarik dan di luar kebiasaan dilakukan sebelum sepak mula.

Kebiasaannya, sebelum sepak mula perlawanan, pengadil bersama kapten daripada kedua-dua pasukan akan bertemu di tengah padang bagi menentukan pasukan manakah akan memilih untuk memulakan perlawanan atau memilih bahagian padang menerusi lambungan syiling.

Bagaimanapun, dalam perlawanan kelapan liga melibatkan kedua-dua pasukan tersebut, difahamkan, pengadil perlawanan tertinggal duit syiling itu dalam bilik persalinan.

Justeru dia membuat keputusan menentukannya dengan meminta kedua-dua kapten pasukan untuk bermain permainan tangan ‘rock, paper & scissors’ atau lebih dikenali sebagai ‘osom’ di Malaysia.

Hasilnya, selepas empat percubaan, kapten Krylia Sovetov, Aleksandr Soldatenkov memenangi permainan tersebut mengalahkan kapten FC Rostov, Makism Osipenko.

Perlawanan tersebut berkesudahan dengan pasukan tuan rumah, Krylia Sovetov menumpaskan lawanya 4-2 di Samara Arena. Ini merupakan kemenangan ketiga yang diraih oleh Krylia Sovetov dan ketika ini mereka menghuni tangga kesepuluh liga.

Sementara itu, FC Rostov pula berada di kedudukan ke-14 daripada 16 pasukan bertanding selepas mengharungi 8 perlawanan pada musim ini.

Anda boleh menonton ‘osom’ yang dilakukan oleh kedua-dua kapten pada pautan video di bawah:

https://youtu.be/-purIMsDWCU

komen