Artikel

Rasmi: Cheng Hoe Panggil 6 Muka Baharu Sertai Skuad Kebangsaan Hadapi Jordan & Uzbekistan

Seramai enam pemain baharu dipanggil oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang dijadualkan berlangsung antara 4-12 Oktober nanti.

Enam pemain tersebut adalah penjaga gol PJ City, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi; dua pemain Penang, Quentin Cheng dan Al Hafiz Harun; dua pemain Selangor, Sharul Nazeem Zulpakar dan Mukhairi Ajmal Mahadi serta pemain Terengganu, Hakimi Abdullah.

Selain enam muka baharu ini, jurulatih berusia 53 tahun tersebut turut memanggil enam muka lama yang tidak mendapat panggilan ke skuad kebangsaan ketika mengharungi pusingan dua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun lalu.

Baddrol Bakhtiar – Foto: Kedah Darul Aman

Mereka adalah penjaga gol Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat; kapten Kedah Darul Aman, Baddrol Bakhtiar; dua pemain Terengganu, Arif Fadzilah Abu Bakar dan Faisal Halim serta dua pemain Kuala Lumpur City, Akram Mahinan dan Kenny Pallraj.

Sementara itu, Cheng Hoe turut mengekalkan 12 pemain daripada skuad kebangsaan yang dipanggil pada Mei dan Jun lalu iaitu ketua pasukan Aidil Zafuan Abd Radzak, penjaga gol Khairulazhan Khalid, Rizal Ghazali, Dominic Tan, Dion Cools, Irfan Zakaria, Syahmi Safari, Nazmi Faiz Mansor, Akhyar Rashid, Syafiq Ahmad, Luqman Hakim Shamsudin dan Guilherme de Paula.

Penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula

Kesemua mereka ini akan melaporkan diri pada 1 Oktober di Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Amman, Jordan pada 2 Oktober 2021.

Untuk makluman semua, skuad Harimau Malaya dijadualkan beraksi menentang Jordan (ranking ke-93) dan Uzbekistan (ranking ke-84) pada 6 dan 9 Oktober masing-masing sebelum kembali ke tanah air pada 10 Oktober.

Dijangka Cheng Hoe menggunakan dua perlawanan ini untuk menilai pemain serta sebagai persiapan awal untuk membentuk skuad terbaik bagi mengharungi saingan Piala Suzuki AFF 2020 yang akan berlangsung dari 5 Disember 2021 – 1 Januari 2022 dan seterusnya Pusingan 3, Kelayakan Piala Asia 2023 pada tahun hadapan.

Berikut adalah senarai penuh 24 pemain yang dipanggil oleh Cheng Hoe tersebut: 

Sumber: FAM

komen