Artikel

Coach Poad Kassim Tinggalkan SSTMI Hijrah Ke SMK Gunung Rapat

Jurulatih pecut, Mohd Poad Md Kassim mengambil keputusan untuk meninggalkan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor dan akan berhijrah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Perak dalam masa terdekat, demikian laporan oleh Berita Harian.

Difahamkan penghijrahan itu turut melibatkan dua anak didiknya yang merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA edisi 2017 dan 2019 masing-masing iaitu Khairul Hafiz Jantan dan Mohd Haiqal Hanafi untuk meneruskan latihan di sana.

“Inya-Allah akan membawa lebih kebaikan dan kejayaan untuk atlet dan jurulatih pada masa akan datang,”

“Sebelum ini, ketika saya berhijrah kali pertama dari Melaka ke SSTMI, Alhamdulillah berjaya melahirkan (bakat) Khairul Hafiz dan Haiqal untuk menang dalam Sukan SEA.” katanya seperti dipetik daripada akhbar tersebut.

Selain daripada menggilap bakat dua pelari pecut ini, Poad turut menggilap bakat baharu iaitu Muhammad Arsyad Md Saat yang memenangi acara pecut 100 meter (m) dalam kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia, April lalu.

Pelari berusia 19 tahun dan memiliki ketinggian 1.84m itu memenangi acara tersebut dengan catatan masa 10.64 saat (s) di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

Sementara itu, penghijrahan Poad ke Ipoh turut dikaitkan dengan kemungkinan beliau akan melatih pelari muda, Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang ‘meletup’ namanya apabila mencatatkan rekod 10.57s dalam acara 100m pada tahun 2019.

Pelari berusia 17 tahun ini merupakan pelajar di SMK Gunung Rapat tersebut.

Featured Image: Unit Sukan Sektor Pembangunan Murid JPN Johor

komen