Written by 11:40 am Bola Sepak, Malaysia

Tan Cheng Hoe Nafi 8 Pemain JDT Tidak Mendapat Pelepasan Kelab

Khamis lalu, ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menyenaraikan 24 pemain yang terpilih untuk menyertai skuad Harimau Malaya bagi mengharungi dua perlawanan antarabangsa tier 1 menentang Jordan dan Uzbekistan pada Oktober nanti.

Senarai 24 pemain tersebut menyaksikan seramai enam muka baharu dipanggil oleh jurulatih kelahiran Kedah itu disamping menyenaraikan kembali enam muka lama yang tidak mendapat panggilan pada Mei dan Jun lalu.

Bagaimanapun, senarai pemain tersebut menyaksikan seramai lapan pemain yang dipanggil ke kem skuad kebangsaan sebelum ini, daripada pasukan juara Liga Super 2021, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak disenaraikan oleh Cheng Hoe.

Ia menyebabkan timbul pelbagai dakwaan dalam kalangan peminat dan salah satunya adalah pemain-pemain tersebut tidak mendapat pelepasan daripada JDT kerana mahu mengelak daripada ditimpa kecederaan untuk menghadapi saingan Piala Malaysia.

Artikel Berkaitan: Cheng Hoe Panggil 6 Muka Baharu Sertai Skuad Kebangsaan Hadapi Jordan & Uzbekistan

“Itu (dakwaan JDT tak lepaskan pemain) pandangan atau andaian masing-masing, tapi kami barisan jurulatih dan pengurusan sentiasa berbincang mana satu yang terbaik untuk pasukan.

“Kita pun nak jaga imej negara juga, kita bukan tak ambil berat mengenai mana-mana pemain,” kata Cheng Hoe seperti dipetik daripada Berita Harian.

Antara pemain JDT yang tidak dipanggil ialah Farizal Marlias, Matt Davies, Adam Nor, Corbin-Ong, Syamer Kutty, Arif Aiman, Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh. 

Sementara itu, jurulatih berusia 53 tahun tersebut menjelaskan dua perlawanan bertemu pasukan yang berada dalam kelompok ranking 100 terbaik dunia adalah untuk memberi peluang kepada bakat baharu merasai cabaran di peringkat antarabangsa.

Antara muka baharu yang dipanggil, Sharul Nazeem Zulpakar dari Selangor FC.

“Pemain seperti Safawi dan pemain yang sudah biasa bersama skuad Harimau Malaya, kita sudah tahu kemampuan mereka dalam pasukan kebangsaan.

“Kali ini kita bagi peluang bakat baharu dicuba untuk bermain di peringkat antarabangsa lawan Jordan dan Uzbekistan yang mana bukan calang-calang pasukan.

“Jadi ini adalah satu ujian terbaik pemain baharu atau pemain yang sudah lama tidak bersama skuad kebangsaan,” katanya lagi.

Untuk makluman semua, Malaysia dijadualkan bertemu Jordan dan Uzbekistan masing-masing pada 6 dan 9 Oktober di negara Jordan iaitu Amman.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers 

(Visited 1,161 times, 1 visits today)
Close