Written by 11:20 am Bola Sepak, Malaysia

Piala AFF 2020: Malaysia Bakal Hadapi Kesukaran Beraksi Atas Padang Tiruan?

Tiada jalan lain buat para pemain skuad kebangsaan melainkan perlu bersiap sedia dengan mental dan fizikal untuk beraksi di atas padang tiruan pada kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 kelak.

Ianya setelah Singapura dipilih secara rasmi oleh Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) sebagai tuan rumah bagi kejohanan dwitahunan terbabit, besar kemungkinan, Malaysia serta pasukan-pasukan lain perlu beraksi di atas padang yang menggunakan rumput sintetik.

Menurut laporan portal Stadium Astro, nada kegusaran turut diluahkan oleh pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe terhadap kemungkinan anak-anak buahnya beraksi di atas permukaan jenis tersebut.

Danial Amier ketika beraksi menentang Pahang di Stadium Tun Abdul Razak pada tahun 2020.

Tambahan pula, saingan Liga Malaysia musim ini tidak lagi dimainkan di Stadium Tun Abdul Razak yang menggunakan rumput sintetik memandangkan pasukan Felda United telah mengumumkan menarik diri, hujung tahun lalu.

“Ada tiga venue dan jika diberikan pilihan, sudah pasti kami mahu bermain di padang rumput,”

“Kerana pemain sudah terbiasa bermain di padang rumput dalam Liga Malaysia. Kita tunggu dan lihat. Jika dapat padang tiruan, kami juga perlu bersedia.”

“Mana-mana pemain pun pasti sukar bermain di atas padang tiruan kerana permukaannya agak keras dan keadaan bola yang amat laju, jadi kami perlu bersedia,” katanya seperti dipetik daripada portal tersebut.

Grafik: Asean Football

Artikel Berkaitan: Rumput Panjang Punca Kekalahan Liverpool – Graeme Souness

Berdasarkan makluman yang belum rasmi, sebanyak tiga stadium disenaraikan oleh penganjur sebagai venue bagi menjalankan kejohanan Piala AFF secara berpusat.

Tiga stadium tersebut ialah Stadium Nasional, Stadium Jalan Besar dan Stadium Bishan. Daripada tiga stadium yang disenaraikan ini hanya Stadium Bishan – gelanggang bagi pasukan Lion City Sailors dan Balestier Khalsa – sahaja yang menggunakan rumput asli.

Featured Image: Football Association of Malaysia

(Visited 465 times, 1 visits today)
Close