Written by 4:22 am Badminton, Malaysia

Piala Sudirman 2021: Skuad Muda Malaysia Kejutkan Indonesia Tempah Tiket Separuh Akhir

Siapa sangka Malaysia yang dibarisi oleh majoriti pemain-pemain muda berhasil melakukan kejutan untuk menempah tiket ke saingan separuh akhir kejohanan Piala Sudirman 2021.

Itulah yang dilakukan oleh skuad negara apabila berjaya menumpaskan pasukan pilihan, Indonesia dengan keputusan 3-2 pada peringkat suku akhir di Energia Areena, Vantaa, Finland pada awal pagi tadi. 

Kisah Malaysia mara ke pentas separuh akhir bermula dengan pasangan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mudah menumpaskan regu nombor satu dunia, Marcus Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo secara ‘straight set’ 21-12 dan 21-15 untuk memberikan mata pertama.

Bagaimanapun, perlawanan kedua yang melibatkan kategori perseorangan wanita memihak kepada Indonesia walaupun Kisona Selvaduray memberikan persembahan terbaiknya. Dia terpaksa akur tumpas kepada Gregoria Mariska Tunjung dengan keputusan 20-22, 21-18 dan 19-21.

Pada perlawanan ketiga, kapten pasukan, Lee Zii Jia berhasil meletakkan Malaysia kembali mendahului di hadapan dengan menumpaskan Anthony Sinisuka Ginting yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik 2020 secara ‘straight set’ 21-11 dan 21-16.

Perlawanan keempat melibatkan kategori beregu wanita. Pearly Tan-M. Thinaah turun selaku regu ke-19 dunia perlu berhadapan dengan regu ke-6 dunia merangkap pemenang pingat emas Olimpik 2020, Greysia Polii-Apriyani Rahayu.

Saingan sengit diberikan oleh Pearly-Thinaah namun ianya tetap berpihak kepada Greysia-Apriyani dengan keputusan 20-22, 21-17 dan 18-22 sekaligus membolehkan Indonesia kembali mengikat Malaysia 2-2.

Perlawanan terakhir melibatkan pertembungan beregu campuran menjadi penentu kepada pasukan manakah yang layak ke peringkat separuh akhir kejohanan.

Di sinilah, regu muda campuran negara, Hoo Pang Ron dan Cheah Yee See turun ke gelanggang tanpa rasa takut dan malu untuk berhadapan dengan ke-4 dunia, Praveen Jordan dan Melati Oktavianti.

Dengan segala keringat dan kesungguhan yang diberikan di dalam gelanggang, pasangan Pang Ron-Yee See berhasil menumpaskan lawannya dengan keputusan 21-19, 9-21 dan 21-16 sekaligus mengesahkan kemaraan skuad negara ke pentas separuh akhir.

Untuk makluman semua, kejayaan mara ke peringkat separuh akhir ini menyamai pencapaian terbaik skuad negara pada kejohanan Piala Sudirman 2009 yang berlangsung di Guangzhou, China.

Sebagai tambahan, kemenangan yang dicatatkan ke atas Indonesia ini juga pertama kali dalam sejarah buat pasukan Malaysia sepanjang beraksi dalam kejohanan Piala Sudirman ini.

Sementara itu, menanti Malaysia di peringkat separuh akhir ialah Jepun. Perlawanan ini dijadualkan berlangsung pada jam 9 malam ini.

Featured Image: BAM

(Visited 1,164 times, 1 visits today)
Close