Written by 1:38 am Badminton, Malaysia

Piala Sudirman 2021: Jepun Sekat Perjalanan Skuad Muda Malaysia di Separuh Akhir

Selepas melepasi cabaran pasukan Indonesia di peringkat suku akhir, perjalanan skuad muda Malaysia dalam kejohanan berpasukan, Piala Sudirman 2021 berakhir di peringkat separuh akhir setelah ditumpaskan Jepun dengan keputusan 3-1, awal pagi tadi.

Malaysia bermula dengan langkah kiri sejak daripada perlawanan pertama lagi. Beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tumpas ‘straight set’ 15-21 dan 14-21 kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi yang membolehkan Jepun mendahului 1-0.

Memasuki perlawanan kedua melibatkan perseorangan wanita, Kisona Selvaduray yang menduduki ranking ke-53 dunia nyata tidak dapat menandingi kehebatan pemain No.5 dunia, Akane Yamaguchi.

Pemain berusia 24 tahun itu mudah meletakkan Jepun mendahului 2-0 dengan mengalahkan Kisona juga secara ‘straight set’ dengan skor 7-21 dan 5-21.

Lee Zii Jia

Bagaimanapun, pada perlawanan ketiga, kapten pasukan iaitu Lee Zii Jia menyalakan harapan buat Malaysia apabila meraih kemenangan ke atas pemain No.1 dunia, Kento Momota secara ‘straight set’ 22-20 dan 21-19.

Perlawanan keempat melibatkan regu wanita menjadi penutup kepada perjalanan Malaysia di kejohanan yang berlangsung secara dwitahunan ini apabila kesungguhan Pearly Tan-M. Thinaah tidak dapat membendung gandingan baharu wanita Jepun, M. Matsumoto-M. Matsutomo meraih kemenangan ‘straight set’ 19-21 dan 17-21.

Walaupun terkandas di peringkat separuh akhir, prestasi yang ditampilkan oleh skuad Malaysia pada kejohanan kali ini merupakan kedua terbaik dalam sejarah selepas skuad edisi 2009 yang lalu.

Skuad muda ini juga telah mengatasi sasaran minimum mara ke peringkat suku akhir yang diletakkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Sebagai tambahan, majoriti pemain-pemain ini akan berehat selama seminggu sebelum kembali beraksi dalam sebuah lagi kejohanan berpasukan iaitu Piala Thomas dan Piala Uber bermula 9 Oktober nanti.

Featured Image: BAM/Badminton Photo

(Visited 715 times, 2 visits today)
Close