Written by 4:20 pm Badminton, Malaysia • 2 Comments

Kisona, Pearly-Thinaah Jangan ‘Down’ Sangat – Pesan Kapten Zii Jia

Kapten pasukan dan pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia menasihatkan rakan sepasukannya yang beraksi dalam kategori perseorangan dan beregu wanita supaya tidak begitu kecewa dengan keputusan yang diraih semasa beraksi di Piala Sudirman 2021.

Pemain perseorangan wanita, Kisona Selvaduray serta pemain beregu wanita iaitu Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan yang menjadi taruhan utama negara bagi kategori masing-masing tumpas dalam keempat-empat perlawanan mereka hadapi.

Disebalik kekalahan tersebut, Zii Jia berpandangan, kesemua pemain ini mendapat pengalaman berharga lebih-lebih lagi pentas dwitahunan ini membolehkan mereka berentap dengan pemain handalan dunia seperti Greysia Polii-Apriyani Rahaya (pemenang pingat emas Olimpik 2020) dan Akane Yamaguchi (ranking No.5 dunia).

Greysia Polii dan Apriyani Rahayu – pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2020

“Kebanyakan pemain (ini) adalah kali pertama beraksi di Piala Sudirman, sudah tentu mereka kekurangan pengalaman dan merasakan kali pertama (mereka) bermain menentang pemain handalan dunia sebegini, 

“Dari segi mental, fizikal sudah tentu akan letih tetapi ini merupakan satu pengamalan yang bagus untuk mereka, saya harap Pang Ron, Yee See, Kisona, Pearly, Thinaah walaupun mereka ada kalah ada menang, 

“Saya harap mereka jangan ‘down’ sangat terutamanya Kisona dan Pearly-Thinaah walaupun mereka kalah semua (perlawanan) tetapi mereka dapat ‘experience’ yang sangat bagus.” kata pemain berusia 23 tahun itu menerusi satu video yang dimuat naik oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Lee Zii Jia

Sementara itu, Zii Jia turut tidak menyangka pasukan Malaysia yang terdiri daripada majoriti pemain-pemain muda ini berjaya mara sehingga ke peringkat separuh akhir.

Sedangkan BAM hanya meletakkan sasaran kepada mereka untuk layak ke saingan suku akhir sahaja. Pasukan Malaysia mara ke separuh akhir setelah menumpaskan skuad jiran tetangga, Indonesia dalam satu perlawanan yang penuh dramatik dengan keputusan 3-2.

Kejayaan itu menyamai pencapaian yang dilakukan oleh pasukan Malaysia pada tahun 2009. Di pentas separuh akhir walaupun tumpas di tangan Jepun namun mereka tetap membawa pulang pingat gangsa.  

Skuad yang mewakili Malaysia ke Piala Sudirman 2021

“Pada mulanya, sudah tentu saya tidak jangkakan kita boleh masuk separuh akhir, lagi-lagi menang (ke atas) Indonesia dekat suku akhir, (pencapaian) itu sangat mengejutkan untuk saya sebagai kapten,

“Saya sangat bangga dengan prestasi mereka terutamanya (ketika) menentang Indonesia, walaupun kita menang 3-2 tetapi bagi saya tidak ada orang yang kalah, kita menang semua tidak kira Kisona, Pearly-Thinaah walaupun mereka kalah pada saya persembahan mereka bertaraf dunia.” jelasnya lagi.

Untuk makluman semua, selang empat hari lagi, kesemua pemain badminton ini akan menyertai satu lagi kejohanan bertaraf Gred 1 oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) iaitu Piala Thomas & Uber 2020 bertempat di Aarhus, Denmark.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia/Badminton Photo

(Visited 4,708 times, 3 visits today)
Close