Written by 2:17 pm Bola Sepak, Malaysia

Pertahanan Shane Lowry Bersetuju Kekal Bersama JDT Sehingga Umur 34 Tahun

Pertahanan kelahiran Australia, Shane Lowry bersetuju untuk kekal bersama juara Liga Super sebanyak 8 kali berturut-turut iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) sehingga berumur 34 tahun.

Sebelum ini, Shane yang berumur 32 tahun ini ditandatangani oleh skuad Harimau Selatan selama enam bulan sahaja secara ‘free transfer’ pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia, bulan Mei lalu.

Bagaimanapun, selepas membuat 12 penampilan dalam saingan Liga Super dan Liga Juara-Juara AFC (ACL) pada tahun ini, Shane dan JDT bersetuju untuk melanjutkan kontrak selama dua tahun.

Perkembangan ini dimaklumkan sendiri oleh Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards menerusi satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat JDT, semalam. 

Artikel Berkaitan: TMJ Kongsikan Shane Akan Bergandingan Bersama Mauricio & ‘Budak’ Wolves Ganti Hariss

Shane Lowry berjabat tangan bersama Alistair Edwards – Foto: JST

“Sebaik sahaja saya mendengar minat daripada JDT, saya mahu datang (ke sini) kerana kelab ini mempunyai pakej yang lengkap.” kongsi pemain yang pernah beraksi Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada para wartawan yang hadir.

“Pujian kepada bos (Tunku Mahkota Johor) kerana cara dia menguruskan kelab ini di tahap tertinggi dan profesional.” tambahnya lagi.

Pada masa yang sama, pemain yang pernah beraksi bersama Perth Glory dan Al Ahli ini bertekad untuk memperbaiki lagi dirinya agar dapat memberikan yang terbaik buat JDT.

Sementara itu, ketua jurulatih, Benjamin Mora turut memuji Shane sebagai seorang pemain yang hebat secara keseluruhan serta mempunyai kelebihan teknikal, taktikal dan fizikal yang baik. 

Shane memberikan lebih pilihan kepadanya untuk membentuk barisan pertahanan untuk menempuh pelbagai perlawanan yang dihadapi oleh JDT.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

(Visited 6,261 times, 1 visits today)
Close