Written by 4:02 pm Bola Sepak, Malaysia

Pemain Kacukan Natxo Insa Lanjut Kontrak Selama Setahun Lagi Bersama JDT

Pemain kacukan yang pernah membuat penampilan sebanyak satu kali bersama skuad kebangsaan iaitu Natxo Insa akan kekal beraksi bersama pasukan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) sekurang-kurangnya bagi tempoh setahun lagi.

Pemain tengah berusia 35 tahun ini telah menandatangani kontrak lanjutan sehingga tahun 2022 sepertimana dimaklumkan oleh pelbagai platform media sosial skuad yang mendapat julukan Harimau Selatan itu, pada hari ini.

Majlis menandatangani lanjutan kontrak selama setahun oleh Natxo itu turut disaksikan oleh Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards sambil ditemani oleh Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora yang dilangsungkan di Ibu Pejabat JDT.

Artikel Berkaitan: Pertahanan Shane Lowry Bersetuju Kekal Bersama JDT Sehingga Umur 34 Tahun

Benjamin Mora (kiri), Natxo Insa (tengah) dan Alistiar Edwards (kanan).

Untuk makluman semua, Natxo lahir di Sepanyol namun mempunyai pertalian darah menerusi neneknya mula menyertai JDT pada pertengahan tahun 2017.

Ini bermakna, Natxo akan memasuki tahun keenam beraksi bersama kelab gergasi bola sepak Malaysia pada tahun hadapan.

Sepanjang beraksi bersama JDT, Natxo meraih pelbagai kejuaraan seperti lima kali juara Liga Super, empat kali juara Piala Sumbangsih dan dua kali juara Piala Malaysia.

Artikel Berkaitan: Mekanisme & Tujuan Pengambilan Pemain Kacukan, Warisan, Naturalisasi Oleh FAM

Sebagai tambahan, sebelum menyertai JDT, Natxo yang memulakan kariernya pada tahun 2006 banyak berkelana dalam saingan Liga Sepanyol dengan menyertai kelab seperti Valencia, Villarreal, Celta dan lain-lain lagi. 

Sepanjang 2006 hingga 2017, Natxo hanya beraksi selama setahun sahaja di luar negaranya dengan menyertai kelab berpangkalan di Liga Turki iaitu Antalyaspor pada saingan musim 2013-14.

Featured Image: Football Association of Malaysia

(Visited 3,256 times, 1 visits today)
Close