Written by 4:24 pm Permotoran

Hafizh El Pescao Ucap Selamat Tinggal Kepada Kejuaraan Dunia Moto2

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin atau dikenali sebagai El Pescao mengucapkan selamat tinggal kepada perlumbaan kelas Moto2 selepas memaklumkan ini menjadi tahun terakhirnya beraksi dalam Kejuaraan Motosikal Dunia.

Hafizh yang beraksi bersama pasukan NTS RW Racing pada musim ini menyatakan sejak turun daripada saingan kelas premier, MotoGP pada penghujung tahun 2019, dia bergelut untuk memberikan keputusan yang baik selain daripada menggunakan sumber kewangan sendiri untuk meneruskan karier dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia ini.

Hafizh ketika beraksi bersama NTS RW Racing, musim 2021 – Foto: IG Hafizh

“Dua tahun ini saya ambil satu risiko yang (boleh) dikatakan tinggi atau bahaya, saya menggunakan dana ini untuk teruskan perjuangan saya dalam arena sukan permotoran ini, saya sangat bergelut untuk berikan keputusan yang terbaik untuk peminat sukan permotoran di Malaysia,

“Mungkin (perkara) ini yang sepatutnya saya fikirkan (untuk) jangka masa panjang setelah saya fikirkan masa hadapan saya, kiranya ini tahun terakhir saya di World Championship sebab saya tak boleh nak teruskan…” katanya menerusi satu temubual bersama wartawan Astro Arena.

Pada masa yang sama, pelumba berusia 27 tahun ini belum berkongsikan sebarang perancangan untuk tahun hadapan namun Hafizh tidak menolak untuk beraksi dalam perlumbaan motosikal lain seperti Superbike World Championship (World SBK) atau Asia Road Race Championship (ARRC).

Hafizh ketika bersama pasukan Tech3 dalam saingan MotoGP

“Tak pasti lagi, saya belum fikir nak pergi ke Asia Race (ARRC) ke, atau World SBK, (tetapi) mungkin Insya-Allah, kalau ada rezeki mengapa tidak? World SBK (menggunakan) jentera yang berbeza tetapi masih World Championship. Cuma saya belum pasti lagi dan saya pun tak berani buat keputusan sekarang.

“Sebab itulah saya kata, bila sampai masa saya akan bagitahu apa yang saya akan buat tetapi kalau nak tanya saya berada di World Championship untuk tahun hadapan, memang saya tidak berada di Kejuaraan Dunia.” tambahnya lagi.

Untuk makluman semua, Hafizh beraksi dalam kelas Moto2 sejak tahun 2011 sebelum menyertai Red Bull KTM Tech3 untuk bersaing dalam kelas premier, MotoGP pada tahun 2018 dan 2019.

Featured Image: Instagram Hafizh Syahrin

(Visited 1,687 times, 3 visits today)
Close