Written by 1:14 pm Asia, Bola Sepak, Malaysia

Jordan 4-0 Malaysia: Kemasukan Pemain Muda Mengubah Permainan Harimau Malaya

Skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe terpaksa akur menerima kekalahan besar 4-0 di tangan Jordan dalam Perlawanan Antarabangsan Tier 1 di Stadium Raja Abdullah II, Amman pada tengah malam tadi.

Malaysia memulakan perlawanan dengan gabungan pemain-pemain yang tidak asing lagi bersama skuad Harimau Malaya seperti Khairulazhan, Aidil Zafuan, Irfan Zakaria, Nazmi Faiz, Syafiq Ahmad dan Guilherme de Paula.

Disamping itu, Cheng Hoe turut menurunkan beberapa muka yang sudah lama tidak beraksi serta pemain baharu seperti Rizal Ghazali, Ariff Farhan, Akram Mahinan, Baddrol Bakhtiar dan Faisal Halim.

Bagaimanapun, persembahan separuh masa pertama tidak begitu baik buat Harimau Malaya. Bergelut untuk mendapatkan rentak dan bolos dua gol. Lebih parah gol pada minit ke-42 pula berpunca daripada kesilapan komunikasi antara Khairulazhan dan Aidil Zafuan.

Memasuki separuh masa kedua, Cheng Hoe mula melakukan perubahan dengan memberi peluang kepada majoriti pemain muda untuk beraksi. Antaranya Hakimi Abdullah, Mukhairi Ajmal, Quentin Cheng dan Luqman Hakim.

Walaupun masih belum mencukupi untuk mengatasi pasukan Jordan, ditambah pula dengan bolos dua gol lagi namun persembahan yang diberikan mengatasi apa yang dipersembahkan pada separuh masa pertama.

Sebagai contoh, bahagian tengah yang diisi dengan Mukhairi berupaya untuk mengawal dan cuba untuk mengatur serangan. Di bahagian kiri, kemasukan Hakimi menjadi sayap kiri Malaysia hidup.

Kehadiran Luqman yang menggantikan De Paula sebagai penyerang pula memberikan lebih pergerakan kepada barisan serangan Malaysia dek kerajinannya yang turut membantu di bahagian tengah.

Tidak dilupakan, kemasukan bek kiri baharu, Arif Fadzilah menjadikan pertahanan kiri Malaysia tidak mudah ‘ditebuk’ oleh Jordan. Selain itu, Arif turut membantu ‘build up’ pasukan dan tidak mempunyai masalah bergandingan dengan baik bersama Hakimi memandangkan kedua-duanya datang daripada kelab yang sama.

Untuk makluman semua, Malaysia akan menghadapi satu lagi perlawanan antarabangsa bertemu Uzbekistan, pada hari Sabtu nanti. Adakah anda melihat muka-muka lama diberikan peluang sekali lagi pada perlawanan tersebut atau mahu Cheng Hoe mempertaruhkan muka-muka baharu dan pemain-pemain muda?

Tonton highlights perlawanan Jordan vs Malaysia DI SINI.

Featured Image: Jordan FA

(Visited 205 times, 1 visits today)
Close