Artikel

Penerjun Negara Nur Dhabitah Tidak Mahu Ketinggalan Dalam Pelajaran

Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri yang melanjutkan pelajaran dalam jurusan Sarjana Muda Komunikasi Media di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyatakan dirinya tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran.

Oleh sebab demikian, penerjun berusia 22 tahun yang beraksi di temasya Sukan Olimpik sebanyak dua kali membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran di universiti yang terletak di Bangi, Selangor tersebut.

Bagaimanapun, bagi menyeimbangkan aspek pelajaran dan karier sebagai penerjun negara, Dhabitah memaklumkan dirinya sedia berbincang bersama jurulatih dan pensyarah agar tumpuan bagi kedua-dua aspek tidak terjejas.

Artikel Berkaitan: Penerjun ‘Manis Senyuman’ Dhabitah Sabri Bergelar Mahasiswa UKM

Dhabitah diberikan penghormatan mengetuai bacaan ikrar pelajar baharu dalam satu majlis yang berlangsung semalam – Foto: UKM

“Saya akan berbincang dengan jurulatih saya khususnya mengenai jadual kelas di UKM. Saya juga tidak mahu ketinggalan dalam pendidikan. Pada akhirnya, pendidikan adalah amat penting bagi saya,” katanya seperti dipetik daripada portal Bernama.

Untuk makluman semua, tahun hadapan bakal menjadi tahun yang cukup sibuk buat atlet kelahiran Kuala Lumpur ini. Hal ini kerana terdapat sekurang-kurangnya dua temasya besar yang akan disertai oleh Dhabitah.

Dua temasya tersebut adalah Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Sukan Asia Hangzhou 2022. Ini belum dicampur dengan kejohanan yang lain-lain lagi.

Sebagai tambahan, ketika beraksi di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini, Dhabitah berjaya menampilkan persembahan terbaik dalam kariernya dengan menamatkan acara terjun papan anjal 3 meter (m) di tangga keempat.

Featured Image: Instagram Nur Dhabitah Sabri

komen