Written by 4:57 pm Asia, Bola Sepak

Kelayakan Piala Asia B-23: Penyerang Kelantan Natanael Siringo Disenaraikan Ketua Jurulatih Skuad Garuda Muda

Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) menerusi pelbagai platform laman sosialnya mengumumkan senarai awal 33 pemain yang dipanggil untuk menyertai skuad bawah 23 tahun (B-23) bagi beraksi di Kelayakan Piala Asia B-23, pada penghujung bulan ini.

Daripada 33 pemain yang diumumkan, ketua jurulatihnya, Shin Tae-yong turut menyenaraikan penyerang muda berusia 22 tahun yang beraksi bersama Kelantan, Natanael Siringo Ringo.

Senarai awal 33 pemain yang diumumkan oleh PSSI untuk menyertai skuad Garuda Muda

Natanael yang ditandatangani oleh skuad The Red Warriors (TRW) pada awal musim antara pemain yang menunjukkan prestasi baik bersama pasukan berpangkalan di pantai timur itu dalam mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini.

Baru-baru ini, pemilik pasukan Kelantan iaitu Norizam Tukiman turut memuji persembahan pemain ini. Beliau yang dikenali sebagai Zamsaham itu berkata, “pelaburan saya ambik pemain kelahiran Medan, Indonesia (iaitu) Nataneal Siringo Ringo nampaknya berbaloi. Pemain 22 tahun yang berpotensi. Hari ini beliau bermain baik. Ringo jaringkan gol menarik (ketika menentang Sabah).”

Baca: 3 Pemain Indonesia Yang Beraksi di Liga Super Dipanggil Perkuatkan Skuad Garuda

Natanael ketika beraksi menentang Sabah dalam saingan Piala Malaysia 2021

Sebagai rekod, Natanael yang kerap beraksi di posisi sayap berhasil menjaringkan 3 gol dalam saingan liga serta satu gol dalam saingan Piala Malaysia yang masih berlangsung ketika ini.

Tonton soroton kesemua jaringan Natanael Siringo Ringo bersama Kelantan dalam saingan Liga Premier 2021 DI SINI.

Sementara itu, jurulatih skuad Garuda Muda yang berasal dari Republik Korea itu turut menyenaraikan dua pemain lain yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia. Dua pemain tersebut adalah Saddil Ramdani (Sabah) dan Syahrian Abimanyu (Johor Darul Ta’zim).

Untuk makluman semua, skuad Garuda Muda diundi telah diundi dalam Kumpulan G bersama-sama China dan Australia pada kempen kelayakan kali ini. Ia sepatutnya disertai oleh empat pasukan namun Brunei Darussalam telah mengumumkan menarik diri.

Featured Image: TRW Kelantan FC 

(Visited 11,250 times, 1 visits today)
Close