Written by 12:42 pm Permotoran

Syarifuddin ‘Damok’ Beri Bayangan Mengenai Pasukan Moto3 Baharunya

Setelah selesai melalui fasa rundingan, pelumba muda negara, Syarifuddin Azman atau dikenali sebagai Damok mengesahkan akan menyertai Kejuaraan Dunia Moto3 pada tahun hadapan.

Bagaimanapun pelumba yang beraksi bersama ZK Racing dalam saingan FIM CEV Kejuaraan Dunia Moto3 Remaja pada musim ini masih tidak mendedahkan nama pasukan yang akan disertainya.

Namun menerusi laporan oleh portal akhbar berbahasa inggeris, New Straits Times, Syarifuddin tampil memberikan sedikit bayangan mengenai pasukan baharunya itu disamping berkongsikan sasaran peribadinya dalam saingan kelas Moto3, pada musim hadapan.

“Sasaran saya pada tahun hadapan untuk merebut gelaran Rookie of The Year.

“Beberapa pelumba daripada Kejuaraan Dunia (Moto3) Remaja juga akan turut menyertai (saingan Moto3) pada tahun hadapan, jadi saya cukup kenal seteru saya.

“Pasukan yang akan saya sertai telah berlumba dalam Kejuaraan Dunia 2017. Mereka akan sertai semula Moto3 tahun hadapan.” katanya dipetik daripada portal tersebut.

Pelumba yang bakal menjengah usia 20 tahun pada bulan November nanti sangat gembira dengan ‘kenaikan pangkatnya’ ke saingan Moto3 itu pada tahun hadapan.

Malahan sasaran awal Syarifuddin untuk beraksi selama dua musim sahaja di perlumbaan peringkat remaja juga dapat dicapai.

Difahamkan, nama pasukan yang akan disertai oleh Syarifuddin dalam saingan Moto3 tahun hadapan akan diberitahu secara rasmi pada hari Jumaat nanti.

Featured Image: Instagram Syarifuddin Azman

(Visited 129 times, 1 visits today)
Close