Artikel

Piala Thomas 2020: Tumpas 1-4 Kepada Jepun, Malaysia Terpaksa Akur Naib Juara Kumpulan D

Walaupun telah mengesahkan diri ke saingan suku akhir, skuad Malaysia yang diketuai oleh pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia terpaksa akur menamatkan saingan peringkat kumpulan Piala Thomas 2020 selaku naib juara.

Kedudukan tersebut diraih Malaysia selepas tumpas 1-4 kepada Jepun dalam perlawanan akhir melibatkan Kumpulan D di Ceres Arena, petang tadi.

Malaysia bermula dengan langkah kiri apabila Zii Jia tumpas di tangan pemain nombor 1 dunia, Kento Momota dengan keputusan 21-15, 12-21 dan 21-23.

Tuah juga tidak mengiringi Malaysia apabila regu Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut tumpas kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dengan keputusan 13-21 dan 13-21.

Peluang Malaysia untuk muncul juara kumpulan tertutup rapat apabila pemain perseorangan kedua, Cheam June Wei juga tewas. Dia tumpas kepada  Kanta Tsuneyama dengan keputusan 20-22 dan 13-21.

Perlawanan keempat turut tidak memihak kepada Malaysia. Pasangan beregu kedua negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin tumpas kepada Akira Koga-Yuta Watanabe dengan keputusan 10-21 dan 16-21. 

Bagaimanapun, Malaysia tidak menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan tangan kosong apabila berhasil mencuri satu mata menerusi Leong Jun Hao. Dia yang berada di kedudukan ke-120 mencipta kejutan menumpaskan pemain nombor 16 dunia, Kenta Nishimoto dengan keputusan 21-18 dan 21-19.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

komen