Artikel

Kejohanan Berbasikal Trek Dunia: Shah Firdaus, Fadhil Zonis Berlumba Tanpa Coach John

Dua pelumba basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis akan beraksi tanpa kehadiran ketua jurulatih, John Beasley di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2021.

Menurut laporan portal akhbar berbahasa inggeris, New Straits Times, hal ini kerana jurulatih kelahiran Australia itu akan menghadapi masalah untuk pulang ke negaranya sekiranya turut serta dalam kejohanan yang berlangsung di Roubaix, Perancis tersebut.

Disebabkan hal itu, Coach John terpaksa melupakan hasrat ke Perancis bagi menemani Shah dan Fadhil. Sebaliknya, dia pulang ke negaranya dan sedang menjalani kuarantin pada ketika ini. Difahamkan, kepulangan Coach John ke Australia ini adalah pertama kali sejak Jun lalu.

John Beasley (kiri).

“Pengembara dari Eropah tidak dibenarkan masuk ke Australia, dan tiada tiket pulang (untuk saya). Saya juga tidak dapat kembali ke Kuala Lumpur kerana visa saya sudah tamat tempoh. Ia hanya akan diperbaharui bersama kontrak baharu saya,” katanya dipetik daripada portal tersebut.

“Disebabkan saya tidak ke Perancis, saya mempunyai masa untuk merangka program skuad kebangsaan yang baharu.”

“Penolong saya Harnizam Basri dan ahli fisiologi Chee Lee Ming akan menemai pelumba-pelumba di Perancis. Kedua-duanya telah bersama saya sejak sekian lama, dan saya tahu mereka akan melakukan yang terbaik untuk membantu Shah dan Fadhil mengatasinya,”

“Saya akan berhubung rapat dengan mereka, jadi tidak timbul sebarang masalah besar.” tambahnya lagi.

Artikel Berkaitan: Fadhil Zonis Sasar Catat Masa Bawah Seminit

Shah Firdaus (kiri) dan Fadhil Zonis (kanan).

Untuk makluman semua, Shah yang beraksi di pentas Sukan Olimpik pada Ogos lalu akan menyertai dua acara di kejohanan ini iaitu pecut dan keirin individu.

Manakala, Fadhil pula akan menyertai tiga acara iaitu pecut, keirin dan ujian masa 1 kilometer (km).  

Sebagai tambahan, kejohanan ini akan berlangsung bermula 20 hingga 24 Oktober hadapan di Velodrome Couvert Regional Jean-Stablinski atau dikenali sebagai Le Stab.

komen