Artikel

Kelayakan Piala Asia B-23: Ketahui Minit Permainan 3 Pemain Thailand Yang Beraksi di Liga Eropah

Skuad jiran tetangga, Thailand Bawah 23 Tahun (B-23) merangkap pasukan pencabar kepada Malaysia dalam Kumpulan J bagi saingan Kelayakan Piala Asia B-23 telah mengeluarkan senarai 27 pemainnya, Jumaat lalu.

Menariknya, 3 orang daripada 27 pemain yang disenaraikan oleh ketua jurulatihnya, Worrawoot Srimaka adalah merupakan pemain yang beraksi dalam saingan liga bola sepak di benua eropah.

Untuk pengetahuan anda semua, ketiga-tiga pemain tersebut bernama Thanawat Suengchitthawon, Benjamin Davis dan Jonathan Khemdee yang beraksi di England dan Denmark. 

Baca: Mongolia Panggil Pemain Liga Eropah Untuk Hadapi Thailand, Malaysia & Laos

Sebelum Thailand turun menentang skuad Harimau Muda kelak, Sukanz ingin berkongsi kepada anda sedikit sebanyak mengenai latar belakang dan statistik ringkas melibatkan ketiga-tiga pemain ini:

#1 Thanawat Suengchitthawon

Thanawat Suengchitthawon of Leicester City during the Premier League 2 match. (Photo by Plumb Images/Leicester City FC via Getty Images)

Kelab: Leicester B-23

Liga: Liga Perdana 2 (Premier League 2)

Posisi: Pemain Tengah Menyerang

Umur: 21 Tahun

Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) menerusi pelbagai platform laman sosialnya turut mengumumkan pemain ini dilantik sebagai kapten skuad Thailand B-23, pada hari ini.

Bercakap mengenai minit permainannya, Thanawat telah mencatatkan 345 minit di atas padang hasil daripada 5 penampilan musim ini bersama Leicester B-23. Selain itu, dia yang menyertai Leicester pada tahun lalu turut merekodkan satu ‘assist’ pada musim ini.

Untuk pengetahuan semua, pemain ini turut mempunyai dua penampilan bersama skuad senior Thailand. Dua penampilan tersebut diraih ketika menentang Indonesia dan Malaysia pada pusingan kedua, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Jun lalu.

Sebagai tambahan, Thanawat yang berkelana di eropah sejak remaja juga pernah beraksi bersama skuad Perancis B-16 dan B-17. Dia sempat meraih sembilan penampilan secara keseluruhan bersama skuad bawah umur Perancis ini.

#2 Benjamin Davis

Kelab: Oxford United

Liga: Liga Satu (League One)

Posisi: Pemain Tengah

Umur: 20 Tahun

Pemain kedua yang dipanggil oleh skuad Thailand B-23 adalah Benjamin Davis yang beraksi dalam saingan divisyen ketiga bola sepak di England. Pemain ini memulakan karier bola sepak semasa zaman remajanya bersama Sekolah Sukan Singapura sebelum menyertai Fulham pada tahun 2017.

Dia kemudiannya menyertai Oxford United pada tahun ini dan sehingga saat ini, Ben hanya merekodkan 17 minit permainan hasil daripada satu penampilan pada musim ini. Penampilan tersebut hadir ketika menentang Stevenage FC dalam saingan Piala EFL.

Sebagai tambahan, Ben belum pernah membuat penampilan bersama skuad senior kebangsaan Thailand namun dia pernah beraksi bersama skuad B-23 Thailand sebanyak satu kali pada Januari tahun lalu menentang Indonesia.

#3 Jonathan Khemdee

Kelab: Odense BK 

Liga: Liga Super Denmark (Superligaen)

Posisi: Pertahanan Tengah

Umur: 19 Tahun

Jonathan merupakan pertahanan tengah yang mempunyai kelebihan fizikal iaitu berketinggian 1.90 meter (m). Untuk makluman semua, dia mula menyertai kelab berpangkalan di Denmark ini pada tahun 2019. Namun, pada ketika itu dia hanya membarisi pasukan remaja.

Musim ini namanya disenaraikan di dalam skuad senior. Akan tetapi, Jonathan belum meraih sebarang minit permainan apatah lagi merekodkan sebarang penampilan. Bagaimanapun, dia mendapat peluang beraksi selama 90 minit bersama skuad Odense B-19 pada Ogos lalu.

komen