Artikel

Petronas & Mercedes-AMG Nafi Akan ‘Bercerai’ Pada Tahun 2022

Syarikat minyak dan gas Malaysia, Petronas selaku ‘title sponsor’ dan rakan teknikal kepada Mercedes-AMG Formula One Team tampil menyangkal dakwaan akan menamatkan kerjasama dengan pasukan terbabit pada tahun 2022.

Berita penamatan kerjasama antara Petronas dan Mercedes-AMG merupakan satu kejutan besar buat peminat-peminat arena sukan permotoran Formula 1 (F1).

Hal ini kerana sejak bekerjasama pada tahun 2010 yang lalu, Mercedes-AMG Petronas F1 Team telah memenangi 7 kejuaraan berganda secara berturut-turut.

Menurut laporan portal The Edge Markets pada hari ini, selain menyangkal dakwaan tersebut, Petronas turut tampil memberikan kenyataan bahawa akan meneruskan kerjasama dengan Mercedes untuk beberapa tahun lagi.

Difahamkan mereka baru sahaja menandatangani kontrak lanjutan kerjasama pada tahun lalu. Bagaimanapun, tiada sebarang perincian didedahkan mengenai lanjutan kerjasama tersebut. 

Dalam perkembangan yang lain, jurucakap Mercedes turut memberikan kenyataan yang sama kepada portal sukan permotoran, GPFans.

Untuk makluman semua, ura-ura mengenai penamatan kerjasama antara kedua-dua pihak ini dilaporkan oleh portal sukan permotoran berpangkalan di eropah, Decalspotters, semalam.

Di dalam laporan tersebut, menerusi satu sumber yang tidak dinamakan, mereka mendakwa kerjasama itu akan tamat pada tahun 2022 sambil syarikat minyak gergasi dari Arab Saudi, Aramco akan menggantikan Petronas.

Featured Image: Mercedes-AMG PETRONAS F1 Team

komen