Artikel

Sukan SEA 2021 Dilangsungkan Mei Tahun Hadapan Tetapi Tarikh Spesifik Belum Ditetapkan

Teka-teki mengenai status penganjuran temasya dwitahunan rantau asia tenggara iaitu Sukan SEA ke-31 terjawab apabila ianya disahkan akan dilangsungkan pada bulan Mei, tahun hadapan.

Perkembangan tersebut disahkan oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menerusi satu sidang media yang diadakan pada hari ini.

Biarpun status mengenai penganjurannya telah disahkan, tarikh berlangsungnya temasya sukan tersebut secara spesifik belum dapat diputuskan lagi oleh negara hos iaitu Vietnam.

Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (kanan).

“Sukan SEA yang ke-31 iaitu Sukan SEA 2021 akan diadakan pada pertengahan bulan Mei 2022. 

“Namun daripada segi tarikh spesifik akan disahkan oleh hos iaitu Majlis Olimpik Vietnam pada penghujung bulan Oktober (2021) kerana penganjur menunggu tarikh akhir pengesahan daripada kerajaan Vietnam.” kongsi Norza selepas menghadiri mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pada hari ini.

Untuk makluman semua, temasya yang akan berlangsung di ibu negara Vietnam iaitu Hanoi sepatutnya dilangsungkan pada tahun ini. Akan tetapi, pandemik Covid-19 yang masih lagi menjadi ancaman kepada kesihatan penduduk di rantau ini memaksa ianya ditunda ke tahun hadapan.

komen