Artikel

Matdon Muncul Pemain Tengah Menyerang Ke-4 Paling Bernilai Liga India

Perpindahan pemain naturalisasi kebangsaan, Liridon Krasniqi ke Odisha FC menyaksikan dia muncul antara pemain tengah menyerang (attacking midfielder) paling bernilai dalam saingan Liga Super India (ISL) musim ini.

Liridon atau dikenali sebagai Matdon yang menyertai Odisha FC secara pinjaman oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) diletakkan sebagai pemain keempat termahal di posisi tersebut oleh portal informasi bola sepak antarabangsa, Transfermarkt.

Menurut portal berkenaan, pemain berasal dari Kosovo ini dinilai pada harga ₹2.91 crore atau bersamaan dengan hampir RM1.7 juta. Sebagai rekod, harga pasaran Matdon pernah dinilai setinggi RM2.4 juta ketika bersama kelab berpangkalan di Turki, Fethiyespor pada tahun 2012.

Mendahului senarai pemain tengah menyerang paling bernilai dalam saingan ISL ialah Adrian Luna dari Uruguay yang beraksi bersama Kerala Blasters. Nilai semasanya adalah RM4.3 juta.

Di tempat kedua adalah pemain ATK Bohun Magan iaitu Hugo Boumos yang bernilai RM2.8 juta. Hugo merupakan pemain kelahiran Perancis dan mempunyai kerakyatan Maghribi.

Di tempat ketiga pula adalah rakan sepasukan Matdon di Odisha FC iaitu Javi Hernandez. Pemain kelahiran Sepanyol yang bermain di India sejak tahun 2019 ini bernilai sekitar RM1.8 juta.

Featured Image: Odisha FC

komen