Written by 3:58 pm Asia, Bola Sepak, Malaysia

Piala Asia 2023: AFC Tukar Format Menjadi 3 Perlawanan Sahaja Pada Pusingan Kelayakan Terakhir

Saingan sengit bakal berlaku dalam kalangan 24 pasukan asia pada pusingan kelayakan ketiga Piala Asia 2023, tahun hadapan.

Hal ini kerana, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini mengumumkan menukar format pusingan kelayakan tersebut daripada beraksi 6 perlawanan kepada 3 perlawanan sahaja pada setiap kumpulan.

Dalam bahasa mudahnya, ianya akan dijalankan secara ‘single round robin’ berbanding ‘double round robin’ pada edisi yang terdahulu. Tiga perlawanan tersebut akan dilangsungkan pada 8, 11 dan 14 Jun 2022.

Indonesia dan Kemboja turut menyertai pusingan kelayakan ketiga selepas berjaya menumpaskan lawan masing-masing pada perlawanan play-off baru-baru ini.

Untuk makluman semua, 24 pasukan tersebut termasuk Malaysia yang dibimbing oleh Tan Cheng Hoe akan diundi dan dibahagikan kepada enam kumpulan.

Setiap kumpulan akan terdiri daripada 4 buah pasukan. Hanya juara setiap kumpulan serta 5 naib juara terbaik sahaja akan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 yang berlangsung di China.

Selain itu, dalam kenyataan yang sama, AFC turut memaklumkan pusingan kelayakan ketiga tersebut akan diadakan secara berpusat (centralised venue).

Justeru, AFC turut membuka peluang kepada mana-mana ahli gabungan (members association) yang menyertai pusingan kelayakan ini untuk melakukan bidaan bagi menjadi hos kepada kumpulan masing-masing kelak.

AFC menjelaskan keputusan ini dilakukan setelah mengambil kira faktor-faktor serta cabaran-cabaran yang disebabkan oleh Covid-19 disamping memastikan keselamatan dan kesihatan semua pihak yang terlibat.

(Visited 194 times, 1 visits today)
Close