Written by 2:03 pm Bola Sepak, Malaysia

Coach Brad: Pemain SGV Freiberg, Annil Mampu Bermain Lebih Daripada Satu Posisi

Penyenaraian pemain muda yang beraksi dalam kancah bola sepak Jerman, Annil Vigneswaran dalam skuad kebangsaan bawah 22 tahun (B-22) bagi mengharungi kelayakan Piala Asia B-23 menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.

Hal ini kerana pemain tersebut tidak pernah dipanggil menyertai kem latihan pusat yang diadakan sepanjang tahun ini. Tambahan pula, aksinya dalam kancah bola sepak Jerman tidak diketahui jelas oleh para peminat. 

Segelintir peminat merasakan penyenaraian Annil ini seumpama ‘tangkap muat’ oleh barisan kejurulatihan.

Namun begitu, ketua jurulatih skuad B-22 negara, Brad Maloney menjelaskan perkembangan Annil di sana telah dipantau oleh barisan kejurulatihan sejak sekian lama dan penyenaraian pemain itu atas faktor kemampuannya untuk beraksi di pelbagai posisi.

“Berhubung isu Annil ini, kami barisan kejurulatihan sebenarnya telah lama memantau perkembangan dan prestasinya. Bukan kita tak tengok langsung dan terus tiba-tiba meletakkan nama dia dalam senarai 23 pemain ke Mongolia ini.

“Penolong jurulatih, Khan Hung Meng pernah melatih pemain ini sebelum dia ke Jerman beberapa tahun yang lalu dan dia dilihat sebagai seorang pemain yang berbakat besar dan sejak itu, prestasinya sudah pun mula dipantau.

“Annil kemudian telah pulang ke Malaysia pada Disember tahun lalu untuk menyertai kem latihan pusat skuad B-19 kebangsaan tetapi malangnya kem latihan pusat pada masa itu tidak dapat dijalankan kerana Pusingan Akhir Kejuaraan B-19 AFC 2021 dibatalkan.

Annil (ketiga dari kiri) ketika sesi latihan bersama skuad B-22 di Ulaanbaatar, Mongolia.

“Tapi sejak dari itu, kami sentiasa memantau perkembangan prestasinya di Jerman dan berdasarkan video dan maklum balas yang diterima, cukup positif.

“Keputusan telah pun dibuat dan dia juga boleh bermain di beberapa posisi, seorang pemain yang versatil dan boleh menjadi aset kepada pasukan. Kami barisan kejurulatihan berasakan yang dia mampu memberi sumbangan kepada pasukan pada saingan kelayakan ini,” jelas Coach Brad.

Untuk makluman semua, difahamkan pemain berusia 18 tahun yang beraksi bersama SGV Freiberg B-19 ini mampu bermain selaku pertahanan dan penyerang.

(Visited 108 times, 1 visits today)
Close