Written by 6:01 pm Lain-Lain

Liga FootGolf Pertama – microLEAP FootGolf League Diperkenalkan di Malaysia

FootGolf merupakan sebuah sukan yang menggabungkan dua sukan yang cukup popular iaitu bola sepak dan golf. Ianya dimainkan di padang golf dan cara permainannya mirip kepada golf.

Bagaimanapun, kayu golf dan bola golf digantikan dengan kaki anda serta bola sepak. Manakala lubangnya pula dibesarkan sehingga memuatkan saiz bola sepak yang digunakan.

Kebelakangan ini, sukan FootGolf semakin mendapat sambutan yang menggalakkan. Lebih-lebih lagi fasa pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia mengekang orang ramai terlibat dalam sukan dan permainan yang melibatkan sentuhan.

Dengan sambutan yang semakin menggalakkan, badan induk sukan ini iaitu FootGolf Malaysia tampil mengumumkan penganjuran sebuah liga rasmi peringkat kebangsaan yang akan bermula pada hujung minggu ini.

Liga ini juga mendapat tajaan daripada platform kewangan P2P patuh syariah iaitu microLEAP sekaligus menjadikan kejohanan ini bergelar microLEAP FootGolf League 2021/22.

Pada masa yang sama, pihak FootGolf Malaysia turut bekerjasama dengan syarikat penyiaran, Astro untuk menyiarkan sorotan pada minggu pertama berlangsungnya liga ini di saluran Astro 801.

Difahamkan sebanyak 21 pasukan akan menyertai saingan liga ini dengan melibatkan seramai 160 pemain mengambil bahagian bagi merebut hadiah terkumpul yang bernilai RM8,500.

Sebagai tambahan, sukan FootGolf mula dimainkan di Malaysia pada tahun 2018. Di peringkat antarabangsa, ianya dimainkan lebih 40 negara dengan penglibatan lebih 250,000 pemain di seluruh dunia. Dipercayai, kejohanan pertama melibatkan FootGolf dianjurkan di Belanda pada tahun 2008.

Pada hari ini, sukan ini bernaung di bawah badan induk dunia iaitu Persekutuan Antarabangsa FootGolf (FIFG), yang ditubuhkan pada tahun 2012 dimana FootGolf Malaysia merupakan ahli eksklusif kepada badan ini.

(Visited 101 times, 1 visits today)
Close