Written by 5:22 pm Asia, Bola Sepak

Rating Sukanz: Kemasukan Quentin Cheng Bantu Malaysia B-22 Raih Kemenangan Ke Atas Laos 

Skuad Malaysia Bawah 22 Tahun (B-22) berjaya memulakan kempen Kelayakan Piala Asia B-23 pada peringkat Kumpulan J dengan langkah kanan.

Kemenangan ini diraih setelah skuad Harimau Muda kendalian Coach Brad ini berhasil menumpaskan skuad Laos B-22 dengan keputusan 1-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium MFF, Ulaanbaatar, Mongolia pada hari ini.

Gol tunggal tersebut dijaringkan oleh Azfar Fikri pada separuh masa kedua setelah menyudahkan hantaran lintang cantik oleh wing back kanan, Quentin Cheng pada minit ke-68.

Kemenangan 1-0 ini memberikan Malaysia 3 mata yang sangat berharga. Ia membolehkan Malaysia mendahului Kumpulan J setelah perlawanan melibatkan dua lagi pasukan, Thailand dan Mongolia berakhir dengan keputusan seri pada tengah hari tadi.

Berikut adalah rating pemain-pemain Harimau Muda ketika menentang Laos:

GK: Azri Ghani – 7/10

Berjaya memastikan ‘clean sheet’ buat Malaysia dan Azri juga tidak berhadapan dengan ujian getir memandangkan Laos kurang efektif dalam melakukan serangan.

DF: Zikri Khalili – 7/10

Melakukan tugasan bertahan dengan baik bersama dua orang lagi pertahanan dalam sistem bek bertiga. Disebabkan kerja-kerja bertahan yang baik, penjaga gol Malaysia tidak berhadapan dengan ancaman yang berbahaya. 

DF: Harith Haiqal – 7/10

Harith menjadi ‘ball playing defender’ dan dia turut memainkan peranan sebagai titik permulaan kepada pembinaan permainan Malaysia dari bawah. Tugas-tugas bertahannya turut dilakukan dengan baik.

DF: Azrin Afiq – 7/10

Sepertimana dua rakan sepasukannya di bahagian pertahanan, Azrin turut memastikan serangan-serangan Laos dapat dipatahkan sekaligus melindungi gawang Malaysia daripada dibolosi.

MF: Azam Azmi Murad – 5/10

Persembahannya di sebelah kanan tidak begitu signifikan terutamanya dalam membantu bahagian serangan Malaysia. Dia dikeluarkan pada separuh masa kedua oleh Coach Brad.

MF: Nik Akif Syahiran – 5/10

Agak bergelut untuk Nik Akif menampilkan persembahan terbaiknya dalam perlawanan ini. Selain itu, dia juga sentiasa diasak oleh pemain-pemain Laos untuk membantutkan serangan Malaysia.

MF: Mukhairi Ajmal (K) – 6/10

Pada separuh masa pertama Mukhairi juga bergelut untuk merancang bahagian tengah Malaysia. Namun pada separuh masa kedua, setelah kemasukan beberapa pemain baharu, permainan Mukhairi bertambah baik dan membolehkan bahagian tengah lebih dikuasai oleh Malaysia.

MF: Umar Hakeem – 5.5/10

Beraksi sebagai wing back kiri dan ada beberapa gerakannya berhasil menerpa berdekatan kotak penalti Laos. Akan tetapi hantaran yang dilakukannya tidak begitu membantu barisan serangan negara untuk mendapatkan gol. Separuh masa kedua, Umar dikeluarkan oleh Coach Brad.

ST: Syafik Ismail – 4/10

Tidak mendapat suapan bola dan sokongan yang baik daripada rakan sepasukan menyebabkan dia sedikit terasing di bahagian atas. Beberapa gerakannya juga dapat dipatahkan oleh pertahanan lawan. Separuh masa kedua Syafik dikeluarkan.

ST: Luqman Hakim – 6.5/10

Selain berperanan sebagai penyerang tengah, Luqman turut turun ke bawah untuk mendapatkan bola namun tiada rezeki buatnya untuk menjaringkan gol dalam perlawanan ini. Bagaimanapun, Luqman turut memainkan peranan dalam gerakan yang menghasilkan gol buat Malaysia.

ST: Azfar Fikri – 7/10

Pada separuh masa pertama dia mendapat beberapa suapan daripada rakan sepasukan namun tidak dapat menyempurnakannya. Babak kedua, satu hantaran lintang oleh Quentin Cheng berjaya disudahkannya untuk menghasilkan jaringan tunggal perlawanan dan memberikan 3 mata berharga buat Malaysia.

Pemain Gantian

MF: Hairey Hakim – 6.5/10

Masuk pada minit ke-65 menggantikan Umar Hakeem di posisi wing back kiri. Ada beberapa larian menyerang yang berhasil dilakukannya serta hantaran lintang ke dalam kotak penalti Laos. 

MF: Quentin Cheng – 7.5/10

Masuk pada minit ke-65 menggantikan Azam Azmi di posisi wing back kanan. Selepas 3 minit kemasukannya, Quentin menghasilkan satu assist penting yang membantu Malaysia menjaringkan gol tunggal perlawanan.

ST: Hakimi Abdullah – 6/10

Dimasukkan pada minit ke-67 menggantikan Syafik Ismail. Beraksi sebagai penyerang kiri dan beberapa kali kepantasannya digunakan untuk melakukan serangan.

MF: T. Saravanan – 6/10

Masuk pada minit ke-78 menggantikan Azfar Fikri dan banyak beraksi di bahagian midfield. Selain daripada membantu penguasaan Malaysia di bahagian tengah, tidak banyak yang disumbangkannya sehingga ke tamat permainan.

Featured Image: FAM

(Visited 355 times, 1 visits today)
Close