Written by 11:39 am Badminton, Malaysia

Terbuka Czech: Siti Nurshuhaini, Tze Yong & Beregu Muda Lelaki Muncul Naib Juara

Kejohanan badminton Terbuka Czech 2021 menyaksikan seramai empat pemain muda Malaysia berjaya menamatkan saingan tersebut selaku naib juara dalam kategori masing-masing, semalam.

Paling mencuri tumpuan adalah pemain perseorangan wanita berusia 17 tahun yang baru sahaja dinaikkan pangkat ke dalam skuad senior iaitu Siti Nurshuhaini Azman.

Nurshuhaini yang menghuni ranking 354 dunia mara perlawanan akhir dengan menumpaskan pemain Ananya Praveen (ranking 510), Karupathevan Letshanaa (ranking 605), Sabina Milova (ranking 186), Van Coppenolle (ranking 551), Basia Grodynska (ranking 526) dan Katerina Mikelova (ranking 441).

Bagaimanapun, rezeki tidak menyebelahinya untuk muncul juara apabila tumpas kepada pemain Indonesia, Putri Kusuma Wardani yang menghuni tangga ke-124 dunia pada perlawanan akhir.

Terbuka Czech: Gandingan Baharu Teoh Mei Xing-Anna Cheong Raih Kejuaraan Pertama

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong yang berusia 21 tahun pula ke perlawanan akhir dengan menumpaskan Jia Heng Jason (ranking 180), Krishna Adi Nugraha (ranking 181), Leong Jun Hao (ranking 120) dan Adulrach Namkul (ranking 144).

Namun Tze Yong (ranking 82) terpaksa akur tumpas kepada pemain tuan rumah, Jan Louda (ranking 132) pada perlawanan akhir.

Terakhir sekali, pasangan beregu muda negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun pula tumpas kepada pasangan Singapura, Hee Yong Kai Terry dan Loh Kean Hean sekaligus turut menamatkan saingan ini selaku naib juara.

Untuk makluman semua, majoriti pemain muda Malaysia akan menyertai sebuah lagi kejohanan di benua eropah iaitu Belgian International 2021 bermula 27 hingga 30 Oktober.

(Visited 245 times, 1 visits today)
Close